AM > BERITA

JKNP Rampas 126 Jenis Produk Kesihatan, Kosmetik Tidak Sah Bernilai RM1.5 Juta

02/10/2025 12:21 PM

KUANTAN, 2 Okt (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) merampas 126 jenis produk kesihatan tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi bernilai RM1.5 juta dalam serbuan ke atas dua premis di sekitar bandar raya ini, Selasa lepas.

JKNP memaklumkan operasi berkenaan dijalankan melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) Pahang dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan (KKM), CPF Terengganu dan Polis Diraja Malaysia, hasil maklumat daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Antara produk dirampas ialah ubat tradisional, suplemen kesihatan untuk radang lutut, probiotik, vitamin serta pelbagai kosmetik yang dipasarkan secara dalam talian melalui platform e-dagang.

“Produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi ini diragui dari segi keberkesanan, kualiti dan keselamatannya,” menurut JKNP dalam kenyataan.

JKNP memaklumkan tindakan penguatkuasaan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan CPF Pahang membanteras penjualan produk kesihatan tidak sah di pasaran, selain meningkatkan kesedaran pengguna melalui kempen “Tolak Ubat Tidak Sah” (TOBaTS).

Kesalahan tersebut selaras Peraturan 7(1)(a) serta Peraturan 18A(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12 Akta Jualan Dadah 1952. 

“Jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM25,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM50,000,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai diingatkan supaya hanya mendapatkan produk kesihatan berdaftar yang mempunyai nombor MAL dan pelekat keselamatan hologram, selain boleh menyemak status pendaftaran melalui www.npra.gov.my.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan