AM > BERITA

MIMOS Perkenal Lebih 25 Teknologi Baharu Pacu Masa Hadapan Digital Malaysia

02/10/2025 04:10 PM

PUTRAJAYA, 2 Okt (Bernama) -- MIMOS Bhd hari ini memperkenalkan lebih 25 teknologi baharu yang dibangunkan pada MIMOS Technology Preview (MTP) 2025, sekali gus membuktikan kemampuan Malaysia dalam melangkaui idea kepada suatu penyelesaian nyata.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata antara teknologi yang diperkenalkan termasuklah semikonduktor dan peralatan elektronik termaju, yang akan meningkatkan peranan Malaysia dalam rantaian bekalan global.

Turut diperkenalkan ialah inovasi dalam kecerdasan buatan (AI), blok rantai (blockchain) dan teknologi kuantum, yang bertujuan memperkukuh daya tahan ekonomi digital negara pada masa hadapan, selain penyelesaian keselamatan siber untuk melindungi kedaulatan Malaysia dalam dunia yang semakin saling terhubung.

“Setiap inovasi ini bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan teknikal tetapi juga komitmen untuk menangani cabaran sebenar yang dihadapi perniagaan dan masyarakat,” katanya ketika merasmikan MTP 2025, di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden Akademi Sains Malaysia (ASM) Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MIMOS Dr Saat Shukri Embong dan Pengerusi MIMOS Dr Jasmine Begum.

Mohammad Yusof berkata teknologi yang dipamerkan pada MTP 2025 bukan sekadar suatu ciptaan, sebaliknya merupakan pelaburan untuk masa hadapan negara.

“Teknologi ini sejajar secara langsung dengan keutamaan nasional Malaysia: Strategi Semikonduktor Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) serta Rancangan Malaysia (RMK) semasa dan yang akan datang.

“Kesemua kerangka kerja ini mencerminkan aspirasi berani Malaysia untuk muncul sebagai Negara Digital yang berdaya saing di peringkat global, sebuah negara yang memperkasakan bakat tempatan, memperluas inovasi tempatan dan memastikan penyelesaian Malaysia memberikan kesan pada peringkat dunia,” katanya.

Beliau berkata pengenalan teknologi yang dibangunkan oleh rakyat Malaysia, menunjukkan keupayaan negara untuk menerajui bidang berkepentingan strategik.

“MTP 2025 merupakan gelanggang pertemuan tempat hubungan ini terjalin, tempat percikan kerjasama mencetuskan perubahan berkekalan.

“MOSTI berbangga dapat bersama-sama dengan MIMOS dalam misi ini. Melalui dasar, hala tuju dan mekanisme pembiayaan, kami sedang membina sebuah ekosistem yang para inovator dan usahawan boleh berkembang maju, dan penyelidikan dapat segera diterjemahkan kepada impak nyata dalam dunia sebenar,” katanya.

Beliau turut menggesa para inovator, peneraju industri, usahawan, penyelidik dan pembuat dasar supaya merebut peluang yang ditawarkan di MTP 2025.

“Jangan biarkan inovasi ini kekal sebagai idea di atas kertas atau prototaip di makmal. Hubungilah MIMOS. Berhubung, bekerjasama, cipta bersama dan bawalah teknologi ini ke pasaran,” katanya.

Sementara itu, Saat Shukri berkata edisi MTP tahun ini menandakan babak baharu bagi MIMOS, dengan pendedahan lebih 25 teknologi merangkumi semikonduktor, peralatan elektronik termaju, kecerdasan buatan, kecerdasan kuantum, blok rantai, keselamatan siber serta teknologi hijau dan penyahkarbonan.

“Inovasi ini bukan sekadar hasil sains, ia alat untuk membantu Malaysia mencapai aspirasinya di bawah RMK12 dan RMK13, Strategi Semikonduktor Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu, serta Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara. MTP 2025 bukan sekadar sebuah pameran. Ia suatu pernyataan kemampuan,” katanya.

Sementara itu Jasmine pula menegaskan komitmen agensi itu untuk memajukan matlamat negara melalui sains, teknologi dan inovasi (STI).

Pada MTP 2025, Mohammad Yusof turut menyaksikan pelantikan Felo Kumpulan Advokasi Industri (IAG) MIMOS, serta beberapa majlis pertukaran dokumen yang memeterai kerjasama dengan rakan strategik utama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan