AM > BERITA

Malaysia Muktamad Penyertaan Dalam Triti Angkasa REG 1975 - MOSTI

04/10/2025 01:46 PM

PUTRAJAYA, 4 Okt (Bernama) -- Malaysia telah memuktamadkan penyertaan negara dalam triti angkasa Konvensyen Mengenai Pendaftaran Objek Yang Dilancarkan Ke Angkasa Lepas (REG 1975) kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pada 26 Sept.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, penyertaan itu diserahkan kepada PBB oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, yang mewakili Kerajaan Malaysia.

“Instrumen penyertaan disampaikan sendiri oleh Mohamad kepada Timbalan Setiausaha Agung PBB bagi Hal Ehwal Undang-Undang merangkap Penasihat Undang-Undang PBB Elinor Jane Britt Hammarskjold, dalam satu majlis rasmi di Ibu Pejabat PBB, New York,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan MOSTI memaklumkan penyertaan itu, mengukuhkan kedudukan negara sebagai pemain bertanggungjawab dalam bidang angkasa lepas, pada peringkat antarabangsa.

Menurut kenyataan itu langkah tersebut, menandakan komitmen penting Malaysia terhadap aspek tadbir urus angkasa pada peringkat global, khususnya dalam pendaftaran objek angkasa, keselamatan operasi satelit serta memastikan ketelusan dalam aktiviti penerokaan dan penggunaan angkasa untuk tujuan aman.

“Penyertaan Malaysia dalam Konvensyen REG 1975, merupakan satu lagi tonggak penting yang melengkapi usaha negara mematuhi kerangka undang-undang antarabangsa di bawah naungan PBB,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, ia turut menyokong aspirasi nasional melalui pelaksanaan Dasar Angkasa Malaysia serta penguatkuasaan Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 (Akta 834), yang menjadi asas kepada pembangunan sektor angkasa negara.

Kenyataan itu memaklumkan dengan penyertaan itu, Malaysia kini berada pada landasan lebih kukuh untuk memperkukuh kedudukan sebagai negara yang proaktif dan bertanggungjawab, sejajar dengan matlamat Dasar Angkasa Negara 2030.

“Komitmen itu juga selaras dengan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan kelestarian, kesejahteraan dan pembangunan inklusif, termasuk dalam ekosistem ekonomi angkasa tempatan yang sedang berkembang pesat.

“MOSTI turut yakin bahawa langkah Malaysia menyertai konvensyen itu, mampu memberi nilai tambah kepada usaha merancakkan industri satelit, meningkatkan keyakinan pelabur antarabangsa serta membuka ruang kerjasama baharu dalam penyelidikan dan inovasi teknologi angkasa,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan bahawa Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam forum antarabangsa berkaitan angkasa lepas dan bekerjasama dengan komuniti global untuk memastikan ruang angkasa digunakan secara aman, selamat dan mampan demi manfaat sejagat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan