KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menerima ‘durian runtuh’ bernilai RM460,000 sebagai penghargaan atas kejayaan mereka menakluk dunia dengan merangkul kejuaraan Kejohanan Dunia 2025 di Paris pada 31 Ogos lalu.
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menjadi penyumbang utama dengan ganjaran RM300,000 disusuli dua penaja utama, Yonex (RM100,000) dan Affrin Bank (RM60,000) sebagai simbol pengiktirafan terhadap kejayaan bersejarah pasangan muda berusia 27 dan 25 tahun itu yang kini mengangkat nama Malaysia di pentas dunia.
Kejayaan itu menoktahkan penantian hampir dua dekad negara dalam acara beregu campuran apabila pencapaian terbaik sebelum ini hanyalah di separuh akhir menerusi Koo Kien Keat-Wong Pei Tty pada edisi 2006 di Madrid, Sepanyol.
Mengulas pencapaian tersebut, Tang Jie berkata mereka tidak mahu terlalu dibayangi gelaran juara dunia, sebaliknya terus mengekalkan mentaliti ‘lapar’ untuk menang setiap kali melangkah ke gelanggang.
“Apa yang sudah berlaku biarlah menjadi sejarah. Setiap kali kami masuk gelanggang, kami hanya mahu bermain badminton dan menikmati setiap perlawanan.
“Gelaran juara dunia tidak mengubah cara fikir kami kerana kami masih mahu capai lebih banyak kejayaan,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan replika cek di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, di sini, hari ini.
Turut menerima penghargaan ialah jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto yang menerima RM15,000 daripada BAM, manakala enam anggota pasukan sokongan turut diberi insentif keseluruhan berjumlah RM18,000 atas peranan mereka di sebalik tabir kejayaan tersebut.
Sementara itu, beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah turut tidak pulang tangan kosong apabila menerima ganjaran keseluruhan RM192,500 susulan kejayaan meraih pingat perak di kejohanan sama.
Daripada jumlah itu, BAM memperuntukkan RM112,500 manakala Yonex dan Affin Bank masing-masing menyumbang RM50,000 dan RM30,000.
Presiden BAM Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata majlis itu bukan sekadar penyerahan insentif tetapi sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan pemain serta barisan kejurulatihan yang terus mengangkat martabat badminton negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial