AM > BERITA

Minat Bidang Kemahiran Hidup Sejak Sekolah Rendah, Kini Jana Pendapatan Sambilan Lukis Pelan

08/10/2025 04:53 PM

BATU PAHAT, 8 Okt (Bernama) -- Siapa menyangka minat seorang anak yang gemar "ikut serta” ayahnya ketika melakukan projek Kemahiran Hidup (KH), akhirnya membawa rezeki apabila kini mahir melukis pelan bangunan dan menjadikannya sumber pendapatan sampingan.

Muhammad Zamir Zikri Zulkiflee, 23, berkata pendedahan awal oleh ayahnya, Zulkiflee Zawawi, 62, yang juga seorang guru KH di sebuah sekolah menengah di Mersing, mencetuskan minat mendalam terhadap bidang pertukangan dan pembinaan rumah sejak di bangku sekolah rendah. 

Pelajar tahun tiga program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Vokasional (Binaan Bangunan) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu berkata walaupun masih menuntut, dia sudah mampu menjana pendapatan secara sambilan sebagai pelukis pelan bangunan.

“Alhamdulillah, tahun ini sahaja saya berjaya melukis lima pelan bangunan termasuk hospital dan rumah persendirian, selain beberapa lagi pelan lain yang kini dalam proses untuk disiapkan.

“Saya sendiri tidak menyangka minat terhadap bidang berkenaan mampu memberikan pendapatan kira-kira RM600 bagi satu pelan bangunan yang dilakar pada peringkat awal,” katanya kepada Bernama semasa Seminar Pendidikan Johor Kali Ke-4 (SPJ-IV) di Dewan Sultan Ibrahim UTHM di sini hari ini.

Anak bongsu daripada tujuh beradik itu berazam untuk menjadi jurulukis pelan yang berjaya sebaik menamatkan pengajian kelak.

“Saya berterima kasih kepada ayah kerana membimbing dan memberi galakan kepada saya sejak di peringkat sekolah lagi,” katanya.

Selain Zamir, seorang lagi pelajar kursus sama, Nur Najihah Mohamad Nazri, 28, turut menonjol apabila berjaya menyiapkan model rumah banglo tiga dimensi (3D) sebagai projek pengajiannya.

Beliau berkata projek dinamakan ‘Draw 2 Build’ itu dihasilkan bersama kumpulannya dengan menggabungkan teknologi terkini serta penggunaan perisian khusus dalam proses pembinaannya.

“Ilmu yang saya peroleh semasa latihan industri sebelum ini saya gunakan sebaiknya untuk menghasilkan projek berkenaan,” katanya.

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata dia berasa bangga kerana menjadi antara golongan wanita yang menceburi bidang binaan dan lukisan pelan, memandangkan tidak ramai wanita berani menyertai bidang kejuruteraan.

“Sejak kecil saya sudah terdedah kepada bidang kejuruteraan kerana ramai ahli keluarga bekerja dalam bidang itu sekali gus menimbulkan minat mendalam terhadap kemahiran ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan