AM > BERITA

UTHM Raih Anugerah Universiti Teknousahawan 2025 Di Peringkat Asia

28/11/2025 05:38 PM

JOHOR BAHRU, 28 Nov (Bernama) -- Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengukuhkan kedudukan sebagai institusi berdaya saing di rantau ini apabila dinobatkan sebagai Universiti Teknousahawan 2025 pada Top Asia Corporate Ball 2025.

Anugerah berprestij itu disampaikan oleh Paduka Puteri Tunku Mariamz Almarhum Sultan Iskandar kepada Naib Canselor UTHM Prof Dr Mas Fawzi Mohd Ali.

UTHM dalam kenyataan memaklumkan pengiktirafan itu bukan sahaja mengangkat imej universiti di pentas Asia, malah memperkukuh keyakinan terhadap hala tuju strategik untuk muncul sebagai Universiti Teknousahawan Global 2030 (GTU2030).

Kenyataan itu memaklumkan anugerah berkenaan diberikan berdasarkan penilaian menyeluruh merangkumi tiga tunjang utama operasi universiti iaitu Prestasi Korporat, Kecemerlangan Inovasi dan Ekosistem Keusahawanan, yang kini dianggap sebagai ‘DNA baharu’ UTHM.

“Tiga elemen berkenaan turut mencerminkan transformasi institusi pendidikan tinggi daripada sekadar pusat pembelajaran kepada pemacu ekonomi dan penyelesaian masalah komuniti,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Mas Fawzi menyifatkan pengiktirafan itu sebagai pemangkin kepada usaha berterusan universiti dalam memantapkan ekosistem inovasi dan teknousahawan selaras matlamat GTU2030.

Beliau berkata lonjakan ketara syarikat terbitan dalam kalangan pelajar dan staf membuktikan ekosistem yang dibangunkan UTHM semakin matang dan dinamik, berasaskan kekuatan dalam aspek korporat, inovasi dan keusahawanan.

Beliau berkata anugerah itu bukan sekadar trofi tetapi amanah bahawa setiap penyelidikan, setiap terbitan yang dihasilkan dan setiap graduan yang dilahirkan perlu memberikan nilai tambah kepada ekonomi serta masyarakat.

“Ekosistem itu dirangka secara menyeluruh, bermula daripada pengesanan bakat keusahawanan seawal tahun pertama pengajian sehingga ke peringkat penubuhan syarikat terbitan, sebelum mereka kembali sebagai usahawan alumni yang menyumbang kepada institusi.

“Dengan pengiktirafan itu, UTHM komited untuk terus memacu agenda nasional dalam melahirkan generasi teknousahawan berdaya saing dan berupaya menembusi pasaran global,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan