AM > BERITA

Grab Jalin Kerjasama Dengan GiatMARA, Perkukuh Komuniti Rakan Pemandu Dan Penghantar

08/10/2025 08:35 PM

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Grab Malaysia telah mengumumkan kerjasama strategik dengan GiatMARA bagi memperkasa komuniti pemandunya menerusi inisiatif peningkatan dan latihan semula kemahiran, akses kepada perkhidmatan bernilai tinggi dan peralihan kepada kenderaan elektrik (EV).

Menerusi kerjasama ini, Grab akan memperluas akses kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi komuniti pemandu yang memfokus kepada kemahiran praktikal dan berdaya kerja seperti penjagaan dan keselamatan kenderaan, operasi logistik, pengetahuan asas elektrik dan EV, perkidmatan digital dan pelanggan serta pengurusan perusahaan kecil dan kewangan.

Kenyataan Grab Malaysia memaklumkan program ini menggabungkan modul dalam talian yang fleksibel melalui GrabAcademy dengan latihan amali di pusat GiatMARA yang membolehkan rakan pemandu dan penghantar mempelajari kemahiran pada kadar mereka sendiri sambil memperoleh pengalaman dunia sebenar.

Pengarah Operasi Negara dan Mobiliti Grab Malaysia Rashid Shukor berkata kerjasama ini mencerminkan komitmen syarikat terhadap kelestarian jangka panjang serta kebajikan rakan pemandu dan penghantar.

“Kerjasama kami dengan GiatMARA melalui GrabAcademy memperkasa rakan pemandu dan penghantar dengan kursus peningkatan dan latihan semula kemahiran agar mereka dapat terus berdaya saing sama ada di dalam atau di luar ekosistem Grab. Inisiatif ini juga menyokong usaha berterusan kerajaan dalam memperkasa segmen ini,” katanya.

Beliau juga berkata Grab membuka lebih banyak peluang kepada rakan pemandu untuk menaik taraf serta meningkatkan potensi peluang pendapatan mereka selepas menjalinkan kerjasama dengan pemain industri automotif seperti BYD Sime Motors dan CARSOME.

Menurut kenyataan itu, kerjasama Grab dengan BYD Sime Motors yang bermula sejak Jun lepas, akan terus mempercepat penggunaan EV di Malaysia, bermula dengan fasa awal yang menawarkan 10 unit kenderaan pelbagai guna (MPV) elektrik BYD M6 yang boleh ditempah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kerjasama dengan CARSOME pula memperluas akses kepada pilihan naik taraf dan tukar beli kenderaan pada harga mampu milik dengan diskaun sehingga RM3,000 bagi pembelian dan/atau tukar beli di platform CARSOME.

Melalui kolaborasi ini, Grab menyasarkan untuk memperkukuh peluang pendapatan serta memperbaiki laluan peningkatan kerjaya dan pembangunan kemahiran selain kelestarian jangka panjang bagi komuniti pemandu dan penghantar di seluruh Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan