PUTRAJAYA, 9 Okt (Bernama) -- Kerajaan bertekad mempercepat peralihan kepada ekonomi berasaskan penciptaan nilai dengan memupuk budaya inovasi dan kreativiti, terutamanya dalam perkhidmatan awam, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Beliau berkata inovasi dan penciptaan nilai ialah kunci bagi memastikan Malaysia tidak sekadar menjadi pengguna, sebaliknya muncul sebagai peneraju teknologi serta pengeluar produk dan perkhidmatan bertaraf dunia.
"Ini memerlukan kita membulatkan tekad untuk mempercepat peralihan kepada ekonomi berasaskan penciptaan nilai dengan memupuk budaya inovasi.
"Malaysia perlu bingkas daripada sekadar menjadi pengguna, kepada peneraju teknologi dan pengeluar produk serta perkhidmatan ‘Made by Malaysia’ yang bertaraf dunia,” katanya ketika merasmikan Hari Inovasi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan 2025 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Nga berkata idea baharu yang mampu meningkatkan kecekapan, produktiviti serta kualiti perkhidmatan akan mendorong penjawat awam untuk berfikir secara kreatif dalam mencari penyelesaian luar kotak seterusnya memberi manfaat kepada negara.
"Kita juga boleh tingkatkan hasil pendapatan negara tanpa membebankan rakyat. Itulah hala tuju dan dasar kerajaan MADANI, iaitu berdaya saing, berdaya cipta dan pastikan negara kita terus dijulang,” katanya.
Nga berkata pencapaian negara dalam Indeks Inovasi Global 2025 ke tangga ke-34 daripada 139 dan peningkatan ke tangga ke-23 dalam IMD World Competitiveness Ranking 2025 membuktikan hala tuju kerajaan dalam melonjak inovasi berada di landasan tepat.
“Peningkatan ini jelas mencerminkan komitmen kerajaan MADANI dalam membina ekosistem inovasi yang mampan, inklusif dan berdaya saing,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial