SHAH ALAM, 9 Okt (Bernama) -- Semua ketetapan yang terhasil dari Konvensyen 152 Peringkat Kebangsaan termasuk berkaitan langkah-langkah bagi memperkasa Bahasa Melayu dalam negara akan dibawa untuk penelitian Majlis Pendidikan Negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata pemerkasaan Bahasa Melayu dalam negara adalah relevan dengan situasi semasa dan diperlukan pelaksanaanya.
“Pastinya perkara ini akan dibawa ke Majlis Pendidikan Negara untuk penelitian lanjut. Kerajaan berpandangan semua resolusi yang dibentangkan amat signifikan serta seiring dengan keperluan semasa bagi memperkukuh pelaksanaan dasar bahasa kebangsaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Konvensyen 152 Peringkat Kebangsaan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Shahrin Sahib.
Terdahulu, Shahrin membentangkan enam ketetapan konvensyen termasuk mencadangkan penubuhan Lembaga Bahasa Kebangsaan (LBK) di bawah Jabatan Perdana Menteri, pelantikan atase Bahasa Melayu di setiap kedutaan melalui Kementerian Luar Negeri, serta menetapkan 80 peratus penggunaan kandungan berbahasa Melayu yang betul dan tepat dalam urusan rasmi.
Ketetapan lain termasuk mencadangkan Kementerian Pendidikan Tinggi mewajibkan kursus Bahasa Melayu (Dengan Syarat Wajib Lulus Bergraduat) di semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA), memberi pengiktirafan rasmi kepada pakar bahasa dan linguistik Melayu dengan gelaran Ikhtisas Linguist (Lg), serta mengangkat penggunaan tulisan Jawi dalam urusan rasmi agensi kerajaan Persekutuan, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan.
Ahmad Zahid berkata usaha memperkasa Bahasa Melayu tidak seharusnya digalas oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan menyeluruh daripada seluruh rakyat Malaysia.
Beliau menegaskan bahawa Bahasa Melayu, sebagai lambang maruah dan identiti negara, berpotensi besar menjadi bahasa utama dalam sektor ekonomi halal, pendidikan Islam dan diplomasi dunia Islam.
“Masalah kita pada hari ini bukan kerana ketiadaan dasar, tetapi disebabkan kurangnya penghayatan. Audit Bahasa DBP 2023 menunjukkan hanya sekitar 60 peratus agensi kerajaan mematuhi penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi,” katanya.
Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa cabaran utama bukan datang daripada bangsa asing, tetapi daripada sikap segelintir pihak yang kurang menjiwai peranan bahasa kebangsaan sebagai wahana penyatuan.
“Bahasa Melayu kini perlu dikembalikan sebagai bahasa ilmu, penyelidikan dan inovasi di institusi pendidikan tinggi, manakala setiap agensi kerajaan perlu menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa autoriti negara,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa dalam Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035, Bahasa Melayu akan diangkat sebagai bahasa dagang halal di rantau ASEAN dan dunia Islam, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai lingua franca ekonomi halal global.
“Dalam era digital ini, kita juga mesti memastikan Bahasa Melayu terus hidup di skrin, di aplikasi dan di setiap platform global. Kita perlu melahirkan lebih banyak perisian, istilah saintifik dan kandungan digital dalam bahasa kebangsaan agar menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian rakyat di alam maya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial