AM > BERITA

Kementerian Komunikasi Dalam Proses Pinda Akta Perkhidmatan Pos 2012 - Fahmi

09/10/2025 06:48 PM

SHAH ALAM, 9 Okt (Bernama) -- Kementerian Komunikasi sedang dalam proses meminda Akta Perkhidmatan Pos 2012 bagi memastikan ekosistem perkhidmatan pos yang lebih lestari, mampan, berdaya saing selain menjamin kebajikan pekerja terpelihara.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata bagi tujuan itu, pihaknya telah menerima draf awal laporan daripada pihak konsultan yang menjalankan kajian mendalam bersama pemain industri mengenai industri dan perkhidmatan penghantaran.

Beliau berkata mesyuarat bersama pihak terbabit telah diadakan kira-kira dua minggu lepas dan pihaknya sedang mengumpul maklumat untuk diteliti dengan lebih mendalam sebelum merangka pindaan kepada akta berkenaan.

“Akta Perkhidmatan Pos digubal pada 2012, pada waktu itu kita belum meluluskan jumlah pemegang lesen (penghantaran) yang begitu banyak seperti yang kita saksikan pada hari ini.

“Pada waktu itu juga belum ada lambakan platform e-dagang yang telah mendatangkan satu kesan kepada ekosistem Pos Malaysia,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Redly Pos Malaysia International sempena sambutan Hari Pos Sedunia 2025 di Pusat Mel Nasional di sini hari ini.

Fahmi berkata beberapa pindaan perlu dilakukan terhadap akta itu bagi menjamin kelestarian ekosistem industri penghantaran termasuk memastikan beberapa cabaran dari segi perundangan dapat diuruskan dengan lebih baik.

Beliau berkata pihaknya menjangkakan pindaan itu akan dibawa ke Parlimen pertengahan tahun hadapan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan