AM > BERITA

Gencatan Senjata Buka Peluang GSF Masuk Gaza Melalui Darat - Aktivis

09/10/2025 07:19 PM

KUALA NERUS, 9 Okt (Bernama) --Pengumuman gencatan senjata dan pembebasan tawanan di Semenanjung Gaza memberi sinar harapan baharu kepada peserta misi Global Sumud Flotilla (GSF) untuk menyambung usaha menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada Palestin.

Peserta misi, Muhammad Abdullah, 32, atau dikenali sebagai Ustaz Mad Kecik berkata perkembangan itu memberikannya keyakinan bahawa peluang selepas ini akan lebih cerah untuk memasuki Gaza melalui laluan darat selepas sebelum ini dihalang rejim Israel.

“Insya-Allah kalau dibenarkan, kami semua 23 orang akan pergi lagi membantu rakyat Palestin. Kalau tak boleh ikut jalan laut, kita usaha ikut jalan darat,” katanya ketika ditemui sejurus tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini hari ini.

Beliau bersama seorang lagi aktivis asal Terengganu, Mohd Asmawi Mukhtar, 52, tiba dari Kuala Lumpur dan disambut lebih 1,000 orang terdiri daripada ahli keluarga, sahabat serta orang ramai yang hadir memberikan sokongan.

Terdahulu, media antarabangsa melaporkan Israel dan Hamas bersetuju memeterai fasa pertama perjanjian damai yang membolehkan pembebasan tebusan Israel.

Muhammad yang mengasas sebuah madrasah al-Quran di Kampung Dura, Hulu Terengganu, turut menzahirkan harapan agar sembilan aktivis Malaysia dalam misi Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG) yang ditahan rejim Zionis semalam, segera dibebaskan dan pulang dengan selamat.

“Kalau kita berhenti bercerita tentang derita Gaza, itu bermakna kita memberi kemenangan kepada musuh. Jangan sesekali hentikan — terus sebarkan demi kemanusiaan, agama dan maruah bangsa,” tegasnya.

Sementara itu, Mohd Asmawi yang terharu dengan sambutan rakyat Terengganu berkata meskipun mengharungi pelbagai kesusahan sejak bermula pelayaran sehingga berada dalam tahanan tentera Israel, beliau tetap berazam untuk meneruskan hasratnya membantu penduduk Gaza selepas ini.

“Memang mental diuji sejak mula pelayaran lagi, tetapi Ustaz Mad sentiasa beri kami kekuatan dan kirim doa melalu kumpulan WhatsApp. Itulah yang menjadi penguat semangat saya ketika hampir berputus asa,” katanya.

 -- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan