SEREMBAN, 9 Okt (Bernama) -- Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memilih Kampung Sungai Talan, Juasseh, Kuala Pilah sebagai Kampung Angkat MADANI dalam usaha memperkukuh komitmen terhadap pembangunan komuniti setempat.
Naib Canselor USIM Prof Datuk Dr Sharifudin Md Shaarani berkata terdapat beberapa pelan pembangunan dirancang, antaranya memajukan ekopelancongan di Bukit Batu Bujang Lelo di kampung tersebut dan membantu dalam pemasaran perniagaan gula anau yang diusahakan penduduk setempat.
Beliau berkata program tersebut digerakkan Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri (PLiMJI) USIM, dengan kerjasama Bahagian Libatsama Masyarakat (BLM) mendapat dana sebanyak RM1 juta daripada Kementerian Kewangan.
“Base hiking di Bukit Batu Bujang Lelo dilihat berpotensi tinggi sebagai lokasi ekopelancongan serta riadah keluarga, dari segi infrastruktur kami akan membantu membina papan tanda laluan dan pitstop sehingga ke puncak, selain itu kami juga akan menaik taraf base hiking untuk keselesaan pengunjung.
“Selain itu kami juga merancang untuk membantu meningkatkan ekonomi penduduk kampung dengan memasarkan produk dihasilkan penduduk seperti gula anau, makanan tradisi dan produk cenderamata akrilik yang dijual di situ,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sharifudin berkata bagi menjayakan usaha tersebut pensyarah dan pelajar USIM dalam bidang Edutourism, turut membantu dalam menaikkan bidang ini dengan pembinaan kiosk jualan dan pemasaran produk tempatan dan sebagainya.
Beliau berkata inisiatif ini juga menyasarkan pelbagai projek berimpak tinggi, termasuk pembangunan infrastruktur, aktiviti pemindahan ilmu, serta pengukuhan hubungan sosial antara universiti dan masyarakat luar bandar.
“Melalui program ini, USIM bukan sahaja berperanan sebagai institusi pendidikan, tetapi juga sebagai rakan strategik pembangunan sosial dan ekonomi tempatan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga berkata USIM turut merancang menganjurkan Karnival Juasseh iaitu menghimpunkan penglibatan pelbagai fakulti termasuk Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Fakulti Pergigian, serta pasukan Quran Buddies bagi mengadakan pemeriksaan kesihatan percuma, rawatan gigi, dan bimbingan al-Quran kepada penduduk kampung.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial