KUANTAN, 10 Okt (Bernama) -- Sebanyak 30 anak muda Malaysia sanggup meninggalkan kerjaya lama demi mencari cabaran baharu sebagai penolong pemandu lokomotif sekali gus menjadi tenaga mahir tempatan pertama dalam Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Antara mereka ialah Steven Liu, 28, V. Paarthibann, 29, dan Mohamad Zulfaqar Mohamad Forzan, 35, yang telah mengikuti Program Latihan Kemahiran Industri ECRL (PLKI-ECRL) di Liuzhou Railway Vocational Technical College, di China selama tiga minggu pada November lepas.
Steven yang sebelum ini bekerja dalam bidang sumber manusia di ibu pejabat projek ECRL, berkata beliau tekad menceburi bidang itu kerana minat terhadap kereta api sejak kecil meskipun tiada pengetahuan mendalam.
“Saya memang bermula dari kosong dan cabaran sudah tentu agak besar kerana saya tiada pengetahuan tentang kereta api. Saya kuatkan semangat untuk belajar dengan banyak bertanya dan berusaha memahami apa yang diajar oleh penyelia (Huang Ming Yong).
“Sejak kecil saya sangat meminati kereta api walaupun Terengganu tiada kemudahan itu. Keluarga saya sering membawa saya menaiki pengangkutan awam seperti LRT (Transit Aliran Ringan) di Kuala Lumpur. Dari situ timbul minat saya terhadap konsep kereta api, reka bentuk serta cara ia beroperasi,” katanya kepada pemberita di Seksyen 10 Basecamp ECRL di sini, semalam.
Anak jati Kuala Terengganu itu berkata beliau turut diberi tanggungjawab sebagai ketua kumpulan dalam program itu, selain menguruskan hal ehwal rakan sekerja termasuk kehadiran dan urusan cuti.
Sementara itu, bekas pegawai pemeriksa kapal, Paarthibann berkata beliau tidak merasakan perubahan ketara untuk bekerja sebagai penolong pemandu lokomotif selain menganggap berkhidmat dalam projek mega negara itu sebagai satu peluang keemasan.
“Sebelum ini saya bekerja dalam sektor maritim, berurusan dengan kapal asing dan dokumen antarabangsa, cuma industrinya berbeza daripada laut kepada rel sahaja. Setiap pengalaman kerja ada cabaran harian tersendiri, jadi saya anggap ini peluang untuk saya dapatkan lebih banyak pengalaman dalam pelbagai bidang,” katanya.
Menceritakan pengalaman mengikuti program itu, beliau yang berasal dari Kuala Lumpur kagum dengan budaya kerja tenaga pengajar dari China yang sangat menitikberatkan disiplin, ketepatan masa dan kualiti.
Paarthibann berkata sebagai kumpulan perintis, mereka bukan sahaja dilatih untuk menguasai kemahiran teknikal, malah dipersiapkan untuk melatih generasi seterusnya.
“Sebagai kumpulan pertama kami bukan sekadar belajar untuk diri sendiri tetapi perlu menjadi rujukan pada masa depan. Apa yang kami peroleh daripada pakar China akan diturunkan semula kepada generasi baharu penolong pemandu lokomotif ECRL,” katanya.
Bagi Zulfaqar pula, keputusan menyertai program itu hadir selepas mencuba nasib melalui iklan yang dikongsi dalam kumpulan WhatsApp keluarga.
Berkelulusan sarjana muda kejuruteraan mekanikal dan berpengalaman bekerja sebagai juruteknik serta penyelia di sebuah syarikat telekomunikasi, beliau melihat peluang menjadi penolong pemandu lokomotif itu sebagai cabaran baharu dalam kerjayanya.
“Ramai kata belajar pada usia 35 agak sukar tetapi saya pegang kata-kata penyelia saya, ‘kalau tidak pandai kita boleh belajar tapi kalau malas memang tidak boleh ubah diri’. Jadi saya anggap semua ini peluang untuk mengasah kemahiran baharu,” katanya yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah.
Beliau turut meluahkan rasa bangga kerana menjadi sebahagian daripada projek yang menghubungkan rakyat pantai timur dan pantai barat Semenanjung Malaysia, selain menyaksikan pembangunan negara.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Datuk Seri Darwis Abdul Razak dalam kenyataan berkata penolong pemandu lokomotif itu akan mendapat latihan praktikal mengendalikan lokomotif elektrik (e-Loco) canggih ECRL yang dijadualkan beroperasi secara komersial bermula Januari 2027 bagi tujuan pengangkutan kargo sepanjang jajaran ECRL.
“Latihan penolong pemandu lokomotif ini adalah sebahagian daripada inisiatif PLKI-ECRL untuk memperkukuh komitmen projek ECRL dalam melahirkan bakat rel tempatan dengan menyediakan kumpulan tenaga kerja berkemahiran yang bersedia seiring kemajuan projek menuju operasi penuh,” katanya.
Beliau berkata semua penolong pemandu lokomotif itu akan berpeluang untuk terus maju dalam kerjaya mereka sebagai pemandu lokomotif sepenuhnya dan pemandu tren Electric Multiple Unit (EMU) yang akan membawa penumpang dari Kota Bharu, Kelantan ke Pelabuhan Klang, Selangor.
“Sebanyak 12 unit e-Loco dan 11 set tren EMU enam gerabak telah diperoleh untuk perkhidmatan kargo dan penumpang ECRL masing-masing. Dua unit pertama e-Loco serta dua set pertama tren EMU enam gerabak dijangka tiba di Malaysia menjelang akhir tahun ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial