Oleh Thivyamalini Ramalu
PUTRAJAYA, 10 Okt (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini menerima dua unit jentera Fire Rescue Tender (FRT), termasuk satu daripadanya unit prototaip yang dilengkapi sistem meriam air (water cannon), sebagai sebahagian daripada fasa pertama projek perolehan hibrid bersama CLW Special Automobile (M) Sdn Bhd (CLW Malaysia).
Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata sebelum ini pihaknya menerima tawaran daripada CLW Malaysia bagi menggantikan 30 unit jentera FRT yang telah uzur, menjangkau usia 20 tahun.
“Proses penggantian ini dijalankan dengan kaedah pelupusan secara tukar beli iaitu 30 unit jentera FRT lama dengan anggaran nilai semasa RM2.3 juta diserahkan kepada CLW Malaysia dan mereka menggantikannya dengan jentera FRT baharu bernilai RM600,000 bagi setiap unit.
“Baki 28 unit akan diterima pada fasa dua, dijangka Januari 2026,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan bagi bulan September di sini hari ini.
Turut hadir wakil syarikat yang juga Pengarah Perniagaan CLW Malaysia Khor Song Joo.
Beliau berkata antara kelebihan jentera baharu itu ialah ketinggian mencecah 3.7 meter dan dilengkapi tangki air 8,000 liter, yang membolehkan anggota JBPM menyembur air dari paras tinggi ketika kebakaran.
“FRT sedia ada mempunyai kapasiti tangki 3,600 liter manakala jentera FRT baharu ini melebihi spesifikasi model sedia ada sekali gus meningkatkan keupayaan pengoperasian JBPM dalam kesiapsiagaan menangani insiden kecemasan.
“Jentera baharu ini dijangka mempunyai jangka hayat penggunaan antara 15 hingga 20 tahun,” katanya menambah enam jentera FRT akan dihantar ke Johor, mengambil kira kerosakan jentera di negeri itu sebelum ini.
Kerjasama JBPM dengan CLW Malaysia itu juga bersempena dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China.
Terdahulu dalam ucapannya, selain daripada penggantian jentera FRT, JBPM turut meneliti keperluan kepada kenderaan ringan operasi atau light operational vehicles (LOV) yang lebih kompak, ringan dan mudah diatur gerak untuk keupayaan tindak balas yang lebih praktikal dan efisien di kawasan sempit atau sukar untuk diakses seperti luar bandar atau pedalaman.
“Jabatan telah membuat perolehan 200 unit LOV dengan nilai kontrak RM30.4 juta untuk kegunaan operasi harian dan kerja lasak termasuk sokongan logistik, teknikal dan rondaan semasa situasi kecemasan.
“Perolehan ini bagi menampung keperluan tambahan kepada 647 kenderaan utiliti pacuan empat roda (4WD) sedia ada dan penggantian kepada kira-kira 320 kenderaan yang dikategorikan sebagai rosak atau uzur serta melebihi 10 tahun usia penggunaan,” katanya.
Fasa pertama penerimaan LOV adalah pada Januari 2026 dan akan selesai dibekalkan secara berperingkat menjelang Ogos 2026.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial