AM > BERITA

Lekangan Retina: Ancaman Senyap Bagi Individu Berusia Lebih 40 Tahun, Rabun Jauh

10/10/2025 04:02 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Individu berusia lebih 40 tahun, khususnya mereka yang mengalami miopia atau rabun jauh yang tinggi, pernah mengalami kecederaan atau menjalani pembedahan mata serta mempunyai sejarah keluarga, berisiko lebih tinggi menghidap lekangan retina.

 

Pakar Perubatan Oftalmologi dan Pakar Bedah Vitreoretinal di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) Dr Peh Khaik Kee berkata lekangan retina berlaku apabila retina, iaitu lapisan nipis tisu di belakang mata, terpisah daripada kedudukan asalnya.

“Ia tidak menyakitkan namun, jika tidak dirawat, keadaan ini boleh menyebabkan mata mengalami buta secara kekal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata antara tanda awal yang perlu diberi perhatian ialah kemunculan floaters atau bintik terapung dan kilauan cahaya dalam penglihatan yang sering digambarkan sebagai bintik-bintik halus, sarang labah-labah atau bentuk menyerupai nyamuk yang terapung di hadapan mata.

“Peningkatan mendadak floaters atau kilauan, terutamanya di tepi penglihatan anda, harus menimbulkan kebimbangan segera. Satu lagi tanda bahaya ialah bayang-bayang atau tirai yang merayap merentasi pandangan anda. Ini boleh menjadi tanda bahawa retina sudah mula berpisah,” katanya.

Dr Peh berkata walaupun sebahagian daripada retina terpisah, penglihatan pesakit boleh kekal hampir normal sekiranya makula, iaitu bahagian penting retina yang bertanggungjawab terhadap penglihatan pusat masih berada di tempatnya.

“Tetapi sebaik sahaja makula terpisah, kemungkinan untuk memulihkan penglihatan sepenuhnya akan turun dengan ketara,” katanya.

Sementara itu,  Dr Selva Raja Vengadasalam, pakar dalam bidang yang sama berkata lekangan retina berlaku dalam anggaran tujuh hingga 14 kes bagi setiap 100,000 orang, lebih tinggi daripada jangkaan termasuk Malaysia.

“Ia bukanlah disebabkan oleh gaya hidup atau diet, tetapi lebih kepada faktor-faktor struktur mata.

“Lekangan retina juga dilihat lebih kerap berlaku dalam kalangan lelaki. Melalui pengalaman saya, saya telah melihat bilangan kes yang lebih tinggi dalam kalangan komuniti Cina, mungkin disebabkan oleh prevalens miopia yang lebih tinggi dalam kumpulan populasi ini,” katanya.

Beliau berkata hanya lima hingga 10 peratus kes dengan simptom floaters dan kilauan melibatkan koyakan retina, oleh itu, pemeriksaan mata dengan membeliakkan pupil oleh pakar retina sangat penting untuk menentukan sama ada rawatan segera diperlukan.

Menurut beliau, sekiranya koyakan retina dikesan awal, rawatan laser ringkas atau fotokoagulasi boleh dijalankan, namun jika retina sudah terpisah, pembedahan mikro seperti vitrektomi atau scleral buckling diperlukan.

“Vitrektomi moden menggunakan instrumen sekecil 0.5 milimeter. Prosedur ini menyerupai pembedahan lubang kunci dengan pemotongan dibuat lebih kecil, membolehkan pesakit pulih lebih cepat.

“Dalam beberapa kes, gelembung gas diletakkan di dalam mata untuk membantu menekan retina kembali ke tempatnya. Semasa proses penyembuhan, pesakit mungkin dikehendaki meniarap untuk tempoh yang lama setiap hari, selama satu hingga dua minggu,” katanya.

Mengulas lanjut perkara itu, Dr Peh berkata kadar kejayaan untuk pembedahan penyambungan semula retina adalah tinggi, antara 80 hingga 95 ke 97 peratus, bergantung kepada seawal mana ia dilakukan.

“Jika makula masih melekat, pesakit boleh mendapatkan semula fungsi penglihatan penuh. Namun jika makula telah terpisah, kira-kira 70 peratus pesakit mampu mendapatkan semula penglihatan yang cukup untuk aktiviti harian, termasuk memandu,” katanya.  

Dr Peh berkata kebanyakan pesakit berkemungkinan akan mengalami masalah katarak dalam tempoh enam hingga 24 bulan selepas pembedahan retina, namun keadaan ini boleh dirawat dengan mudah melalui pembedahan katarak yang standard. 

“Tiada pil atau makanan tambahan yang boleh mencegah lekangan retina, tetapi pengesanan awal boleh mempengaruhi hasil rawatan secara ketara. Saringan awal mampu menyelamatkan penglihatan. Lebih awal kita mengesan dan merawat koyakan atau lekangan retina, lebih tinggi peluang untuk mengekalkan penglihatan yang jelas,” katanya.

Pusat Mata Sunway di SMC menawarkan perkhidmatan komprehensif daripada pemeriksaan rutin sehingga pembedahan retina lanjutan serta penjagaan susulan jangka panjang.

Sebagai hospital swasta terbesar di Malaysia, SMC merupakan hospital pertama di Malaysia yang memperoleh tiga akreditasi penjagaan kesihatan utama, iaitu Suruhanjaya Bersama Antarabangsa (JCI) dari Amerika Syarikat, Majlis Piawaian Penjagaan Kesihatan Australia (ACHS) Antarabangsa dan Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH). 

Selain itu, SMC juga diiktiraf sebagai antara hospital swasta terbaik di Asia untuk penjagaan mata oleh Newsweek, mengukuhkan reputasinya dalam perkhidmatan oftalmologi bertaraf dunia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan