AM > BERITA

Penyasaran Subsidi Jimat Dana Negara Sekitar RM15.5 Bilion Setahun - PM Anwar

10/10/2025 05:25 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keseluruhan penyasaran subsidi yang dilaksanakan kerajaan menjimatkan dana negara sekitar RM15.5 bilion setahun.

Ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata dengan setiap penjimatan bermakna lebih banyak dana akan disalurkan untuk kebajikan, peruntukan kos sara hidup serta pelaburan prasarana rakyat yang berkualiti.

“Semua pimpinan kerajaan sebelum ini mengakui keperluan melaksanakan penyasaran subsidi namun ia tertangguh kerana tiada tekad politik yang jitu.

“Memaknai subsidi ialah keistimewaan rakyat Malaysia dan bukan untuk warga asing, bukan syarikat besar. Kerajaan menyasarkan subsidi supaya dana awam sampai kepada rakyat,” kata Anwar ketika pembentangan belanjawan bertemakan “Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat”.

Beliau berkata antara yang dilaksanakan ialah pengapungan harga telur dan ayam dengan masing-masing penjimatan RM1 bilion, sekali gus memastikan harga ayam terkawal, di samping penyasaran subsidi dan penstrukturan tarif elektrik dengan purata penjimatan RM6 bilion, malah 85 peratus pengguna tidak dikenakan kenaikan tarif dan ada yang menikmati penurunan bil.

Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata penyasaran subsidi diesel melibatkan penjimatan RM5 bilion,dengan sektor pengangkutan awam, nelayan dan logistik tertentu terus menerima harga diesel bersubsidi serta RM200 sebulan turut diberikan kepada pemilik individu, petani dan pekebun kecil.

Menurut Perdana Menteri, penyasaran subsidi RON95 berpotensi menjimatkan sekurang-kurangnya RM2.5 bilion, malah rakyat dapat menikmati harga minyak lebih rendah RM1.99 menerusi pelaksanaan program BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

“Urusan BUDI95 berjalan lancar dengan lebih 10 juta rakyat menikmati RON95 pada RM1.99 seliter. Pangkalan data 16.5 juta warganegara yang layak sedang dikemas kini untuk menyediakan kuota tambahan kepada 23,000 pemilik perahu berdaftar dan lebih 52,000 pemandu e-hailing aktif,” kata Anwar.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan bersusah payah melaksanakan penyasaran subsidi kerana subsidi pukal selama ini tiris kepada warga asing dan syarikat besar.

Beliau berkata subsidi sepatutnya hak dan keistimewaan yang mesti dinikmati rakyat Malaysia dan disebabkan penjimatan subsidi diesel, kerajaan juga dapat meringankan hidup rakyat melalui ikhtiar seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) Untuk Semua yang dilancarkan pada Ogos lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan