AM > BERITA

Belanjawan 2026 Perkukuh Industri Pertahanan, Kebajikan ATM - LTAT

10/10/2025 10:40 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2026 mencerminkan visi Kerajaan MADANI untuk membina Malaysia yang lebih berdaya tahan, inklusif dan berpandangan jauh.

Ketua Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Mohammad Ashraf Md Radzi berkata pihaknya menyokong pelaksanaan belanjawan itu melalui pelaburan yang bertanggungjawab bagi memperkukuh industri berkaitan pertahanan, meningkatkan kebajikan anggota ATM, serta menjana nilai jangka panjang kepada para pencarum dan negara.

“Sebagai Belanjawan MADANI keempat dan yang pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, Belanjawan 2026 meletakkan asas kukuh bagi pertumbuhan mampan dan inklusif negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata jumlah peruntukan sebanyak RM470 bilion, termasuk RM30 bilion bagi pelaburan GLIC di bawah Ikhtiar GEAR-uP, memperkukuh fokus kerajaan terhadap tanggungjawab fiskal, ketahanan ekonomi, dan kemakmuran bersama.

Mohammad Ashraf berkata sebagai salah satu institusi pelaburan yang menumpukan sepenuhnya kepada pasaran domestik, LTAT dan syarikat kumpulannya komited menyokong keutamaan ekonomi dan sosial kerajaan merentas sektor strategik seperti pertahanan, kesihatan, pertanian, hartanah serta pemerkasaan ekonomi Bumiputera.

“Peningkatan pelaburan GLIC daripada RM25 bilion kepada RM30 bilion akan terus memperkukuh keupayaan LTAT dalam menjana nilai jangka panjang melalui kumpulan syarikatnya,” katanya.

Menurut Mohammad Ashraf peruntukan sebanyak RM21.7 bilion kepada Kementerian Pertahanan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan terhadap keselamatan negara, termasuk RM6 bilion bagi penyelenggaraan dan perolehan aset pertahanan baharu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan