KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Gabungan Teksi Malaysia (GTM) menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan MADANI kerana terus memberi perhatian kepada kebajikan pemandu teksi dalam pembentangan Belanjawan 2026.
Presiden GTM Kamarudin Hussain berkata pihaknya menghargai komitmen kerajaan yang memperuntukkan RM10 juta bagi menanggung kos kursus dan elaun latihan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan pemandu teksi.
Beliau berkata peruntukan latihan itu, antara cadangan yang telah dikemukakan kepada kerajaan pada tahun lepas dalam usaha menaik taraf imej dan kualiti industri teksi negara.
“Ini satu perkara yang pernah kami bentangkan kepada Perdana Menteri pada tahun lepas, mengenai wajah baharu bagi memberi satu imej yang baik dalam negara kita, selain menggantikan kenderaan (teksi) lusuh yang agak ketinggalan zaman.
“Satu perkara yang tercatat dalam kertas cadangan yang kami bentangkan untuk penjenamaan teksi itu, ialah kursus bagi menaik taraf kualiti pemandu mengenai cara melayan pelanggan serta bercakap dengan pelanggan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata walaupun penjenamaan semula perkhidmatan teksi masih belum dilihat secara menyeluruh, namun pengumuman Perdana Menteri hari ini memperlihatkan usaha kerajaan ke arah merealisasikan perkara berkenaan.
Anwar ketika pembentangan Belanjawan 2026 di Parlimen petang tadi turut mengumumkan inisiatif untuk meneruskan pengecualian 100 peratus duti eksais dan cukai jualan ke atas pembelian kereta nasional baharu Proton dan Perodua oleh pemilik teksi dan kereta sewa persendirian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial