SERI ISKANDAR, 11 Okt (Bernama) -- Timbalan Perdana Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu platform seperti Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK), diperkasa kerana ia berpotensi melahirkan pencipta inovasi, usahawan teknologi, dan penggerak perubahan.
Ahmad Zahid berkata ini terbukti melalui kejayaan beberapa usahawan muda yang berjaya ke peringkat antarabangsa hasil daripada idea besar yang menjadi pengubah industri di negara ini.
“Saya percaya jika ia dipadukan secara menyeluruh, insya-Allah akan lahirlah idea-idea besar seperti Carsome, yang bermula dengan kesedaran untuk mentransformasi industri kereta terpakai. Mereka membina solusi digital dengan kecekapan tinggi sehingga muncul sebagai unicorn teknologi pertama di Malaysia, kini bernilai berbilion dolar di rantau Asia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Festival Idea Peringkat Negeri (FOI@Negeri) dan Festival Idea Negeri Perak (FOI@Perak) 2025 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar hari ini.
Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Dr Anesee Ibrahim.
Dalam pada itu Ahmad Zahid berkata penganjuran Festival Idea Nasional perlu menjadi medan baharu gelombang pemikiran kreativiti dan inovasi bukan hanya di ibu kota tetapi disebarluaskan hingga ke kawasan desa.
“Saya mahu setiap negeri, termasuk Perak, menjadi medan baharu Festival Idea Nasional agar gelombang pemikiran, kreativiti, dan inovasi tidak terhenti di ibu kota, tetapi bergema hingga ke desa dan kampung juga.
“Visi saya jelas, Festival Idea mesti melampaui acara tahunan dan menjadi gerakan sepanjang tahun.Kita mahu sekolah, universiti, dan komuniti desa sama-sama menjadi sebahagian daripada gelombang idea nasional,” katanya.
Beliau berkata setiap idea juga mesti diterjemah menjadi tindakan nyata melalui Konsortium Idea Industri bagi memastikan ciptaan anak muda tidak terhenti sebagai prototaip, tetapi dipadankan terus dengan agensi kerajaan, pelabur dan GLC.
“Kita wujudkan Pavilion TVET Inovatif, ruang pameran bagi pelajar mempamerkan ciptaan dan teknologi hasil kemahiran mereka, membuktikan TVET bukan laluan kedua,tetapi laluan masa depan.
“Kita juga adakan Hackathon Desa, gelanggang mencabar anak muda mencari solusi kreatif untuk pertanian, perikanan, dan industri kecil desa,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial