SERI ISKANDAR, 11 Okt (Bernama) -- Sesi Temu Anwar Bersama Pelajar Universiti Teknologi Petronas (UTP) di sini hari ini, menyediakan peluang kepada pelajar berinteraksi secara langsung dengan kepimpinan negara sekali gus mencerminkan keyakinan terhadap generasi muda dalam menerajui transformasi nasional.
Program yang berlangsung di Canselori UTP itu menjadi platform untuk mahasiswa membincangkan isu masa depan pekerjaan, cabaran teknologi baharu serta keperluan membina tenaga kerja yang bukan sahaja berkemahiran tinggi tetapi juga beretika, inovatif dan berdaya tahan.
Presiden UTP Mohamed Firous Asnan berkata universiti itu berbesar hati menerima kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang komitmennya terhadap pendidikan telah terbukti sejak lebih empat dekad lepas, termasuk ketika menerajui Kementerian Pendidikan.
“Lebih empat dekad yang lepas, beliau pernah berkhidmat sebagai Menteri Pendidikan memperjuangkan reformasi kurikulum, memperluas akses kepada pendidikan dan menjadikan pendidikan sebagai tonggak pembangunan negara.
“Pada era 1970-an dan 1980-an, Datuk Seri (Anwar) dikenali sebagai ikon anak muda dan pejuang rakyat yang gigih memperjuangkan nasib golongan miskin dan luar bandar,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Mohamed Firous berkata ketika ini Malaysia sedang melalui era transformasi besar dari segi ekonomi, teknologi dan sosial, namun keyakinan Anwar terhadap peranan strategik universiti tetap utuh.
Beliau berkata melalui inisiatif seperti Ekonomi MADANI, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Perdana Menteri menekankan kepentingan universiti sebagai pusat inovasi dan ketahanan negara.
Pada majlis tersebut, Anwar turut menyampaikan syarahan awam bertajuk “Universiti Sebagai Aset Strategik: Merencana Masa Depan Malaysia melalui Bakat, Teknologi dan Transformasi” dan meluangkan masa meninjau Jabatan Kejuruteraan Bersepadu UTP yang menawarkan program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Bersepadu dengan Kepujian.
Selain itu, Perdana Menteri juga diberi taklimat ringkas mengenai program penyelidikan yang sedang giat dijalankan di UTP iaitu dalam bidang pelakuran nuklear (nuclear fusion) dan bahan pintar (smart materials), membuktikan keupayaan universiti tersebut meneroka sempadan baharu dalam sains dan teknologi sekali gus memanfaatkan asas penubuhan UTP dalam bidang minyak dan gas.
Terdahulu, Anwar turut meluncurkan panel solar bumbung tunggal terbesar di Malaysia iaitu sistem solar PV UTP yang dibangunkan bersama Gentari terdiri daripada lebih 13,000 modul PV yang meliputi kawasan seluas 36,000 meter persegi.
Dengan keupayaan kuasa maksimum 7.4 megawatt, sistem tersebut mampu menyumbang 25 peratus daripada keseluruhan permintaan tenaga elektrik UTP dan menjimatkan kira-kira 11 peratus daripada jumlah keseluruhan bil tenaga elektrik universiti yang secara tidak langsung menyumbang ke arah inisiatif kelestarian universiti tersebut.
Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
UTP yang ditubuhkan oleh Petronas pada 1997, komited melahirkan bakat masa hadapan dan memperkasa penyelidikan yang memberi impak kepada masyarakat dan industri.
Dengan kampusnya yang terletak dalam persekitaran kaya dengan biodiversiti, UTP berfungsi sebagai makmal hidup bagi kejuruteraan dan inovasi teknologi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial