SUKAN > BERITA

GELARAN BERGANDA TERLEPAS; AARON-WOOI YIK SEKADAR NAIB JUARA TERBUKA ARTIK

12/10/2025 11:13 PM

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Hasrat wakil Malaysia meraih gelaran berganda di Terbuka Artik tidak kesampaian selepas beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, tewas kepada pasangan England, Ben Lane-Sean Vendy, pada aksi final di Vantaa, Finland, hari ini.

Dalam perlawanan final kejohanan Super 500 yang berlangsung di Vantaan Energia Arena, Aaron-Wooi Yik memulakan permainan dengan agak sukar, melakukan beberapa kesilapan dan beberapa pukulan tersasar, menyebabkan mereka tewas 18-21 dalam set pertama.

Walaupun mendahului 15-11 dalam set kedua, pasangan nombor dua dunia itu hampir membiarkan peluang terlepas apabila pasangan England yang menghuni ranking ke-15 dunia mengejar hingga 21-21.

Namun, barisan negara tetap tenang di bawah tekanan untuk menoktahkan kemenangan 27-25 dan mengheret perlawanan ke set penentuan.

Pada saat mendahului 11-10 dalam set penentuan, dua kali pemenang pingat gangsa Olimpik ini tergelincir pada detik penting, membolehkan pasangan England memintas keadaan kepada 16-15 sebelum menamatkan perlawanan dengan kemenangan 21-17 dalam perlawanan yang berlangsung selama 76 minit.

Kejayaan tersebut merupakan kemenangan keempat Lane-Vendy daripada 10 pertemuan menentang bekas juara dunia 2022 itu.

Selaku juara, Lane-Vendy membawa pulang USD37,525 (kira-kira RM159,000), manakala Aaron-Wooi Yik menerima USD18,050 (sekitar RM76,000).

Sebelum itu, beregu wanita negara Pearly Tan-M.Thinaah berjaya muncul juara selepas mengatasi gandingan Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakashini, dengan kemenangan 21-7, 21-9 dalam aksi final.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan