AM > BERITA

Penduduk Ladang Byram Gembira, Teruja Sambut Deepavali Di Rumah Baharu

11/10/2025 06:00 PM

NIBONG TEBAL, 11 Okt (Bernama) -- Sambutan Deepavali tahun ini amat bermakna buat penduduk Ladang Byram, di sini kerana mendapat kunci rumah gantian baharu yang lebih selesa daripada kerajaan Pulau Pinang. 

Seorang penduduk S. Malliga, 61, berkata gembira kerana dia dan suami serta empat anak dapat menyambut Deepavali di rumah baharu di Taman Byram Baru, selepas 40 tahun menetap di estet tersebut. 

"Sudah pasti kami semua gembira dan seronok mahu beraya di rumah baharu. Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana membantu menyediakan rumah yang lebih cantik dan selesa, sehingga saya tidak sabar untuk berpindah masuk,” katanya kepada Bernama di sini hari ini. 

Wanita itu ditemui pada Majlis Perasmian Projek Penempatan Semula Penduduk Ladang Byram oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow, yang turut dihadiri Ahli Parlimen Nibong Tebal Fadhlina Sidek yang juga Menteri Pendidikan.

Seorang lagi penerima, A.Selvadorai, 48, berkata dia, isteri dan empat anak tidak sabar untuk merayakan Deepavali di rumah baharu, yang diharapkan membawa lebih banyak kegembiraan serta menjadi permulaan baik kepada mereka selepas 20 tahun tinggal di rumah estet ladang.

F. Edward Raja, 47, berkata Deepavali tahun ini sudah pasti lebih meriah dengan dia dan keluarga telah membuat persiapan serta membeli barangan untuk menyambut perayaan itu di rumah baharu yang telah dijanjikan kerajaan negeri.

Sementara itu, Chow berkata projek membabitkan kos RM18.4 juta itu merangkumi pembangunan 68 unit rumah teres serta masing-masing sebuah bangunan sekolah dua tingkat dan kuil, serta lengkap dengan pelbagai kemudahan asas untuk memenuhi keperluan komuniti setempat.

Chow berkata kerajaan negeri memutuskan untuk menawarkan kediaman gantian kepada 72 keluarga dikenal pasti dengan 66 daripadanya ditempatkan di Taman Byram Baru manakala bakinya di Taman Kalidonia Indah Fasa 2.

Beliau berkata penduduk di situ dengan majoriti masyarakat India telah lama berdepan kesan pencemaran dari Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung yang menjejaskan kesihatan penduduk dan mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Byram.

“Menyedari keperluan mendesak untuk penyelesaian jangka panjang, kerajaan negeri mengambil langkah proaktif memperuntukkan tanah seluas 3.52 hektar di Nibong Tebal melalui Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang manakala Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang dilantik sebagai pengurus projek,” katanya.

Beliau berkata harga tawaran untuk rumah tengah ialah RM42,000 seunit manakala RM50,000 bagi unit lot penjuru, dan kerajaan negeri memperkenalkan skim "Rent-to-Own"  iaitu sewa untuk memiliki dengan bayaran bulanan serendah RM200 bagi membantu pemilikan rumah.

Selain kediaman, Chow berkata kerajaan negeri turut menitikberatkan aspek pembangunan komuniti dan keagamaan masyarakat di situ, dengan menawarkan dua rumah kepada Persatuan Chapel untuk dijadikan rumah ibadat pada kadar nominal.

“Pada masa sama, bangunan sekolah baharu akan diserahkan kepada Lembaga Pengelola SJKT Ladang Byram yang merupakan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan anak-anak di sini menikmati pendidikan berkualiti dalam persekitaran lebih kondusif, selamat dan selesa,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan