AM > BERITA

RUU Pekerja Gig: KESUMA Laksana Siri Jelajah Di Seluruh Negara

12/10/2025 10:50 AM

KANGAR, 12 Okt (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan melaksanakan siri jelajah di seluruh negara bagi memberikan penerangan mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 dalam usaha mendedahkan penggiat industri gig berkaitan dengan perlindungan dan hak di bawah RUU itu.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata setakat ini, selain telah mengadakan perjumpaan dengan pekerja gig di Pulau Pinang dan Perlis, beliau juga sudah bertemu dengan penggiat muzik dan perfileman serta pemandu e-hailing di Kuala Lumpur bagi menjelaskan secara terperinci tentang manfaat RUU itu setelah dikuatkuasakan nanti.

“Jadi, ia bukan setakat ikut negeri, tengok kesesuaian tempat, kesesuaian kumpulan yang hadir itu, tetapi kalau boleh saya nak bawa (siri jelajah itu) ke seluruh Malaysia, kita akan cuba pergi ke seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas Program Meet & Greet “Jalan Teruihhh Lindung Kendiri X Santai Anak Utara” di Dataran Dato’ Sheikh Ahmad, di sini malam tadi.

Semalam, Bernama melaporkan RUU Pekerja Gig 2025 yang diluluskan Parlimen kini dalam proses mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sebelum diwartakan untuk memelihara hak dan memperkukuh kebajikan pekerja dalam sektor gig di negara ini.

Sim berkata program malam tadi juga antara siri jelajah itu dengan terdapat banyak soalan daripada pekerja gig berkaitan dengan hak dan manfaat mereka di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) pada sesi soal jawab selain penerangan mengenai RUU terbabit.

“Kita juga nak dengar pendapat mereka tentang RUU berkenaan, ini undang-undang baharu dan kali pertama kita buat, kalau kita nak buat persediaan juga mungkin (perlu ada) penambahbaikan pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, rata-rata pekerja gig ditemui Bernama memuji usaha kerajaan menerusi KESUMA yang menganjurkan program sedemikian dan berpuas hati dengan penerangan diberikan Menteri Sumber Manusia itu tentang perlindungan keselamatan sosial kepada golongan berkenaan.

Penghantar makanan Hasina Abdul Hamid, 51, dari Beseri dekat Padang Besar berkata maklumat berkaitan RUU serta kemudahan disediakan PERKESO bagi memelihara kebajikan pekerja gig yang disampaikan difahaminya sekali gus memberikan pengetahuan dalam mempertahankan haknya.

“Program seperti ini perlu dibuat lebih kerap, dan menteri pun tenang sahaja memberikan penjelasan dan menjawab persoalan berbangkit, saya suka dengan maklumat terperinci disampaikan menteri,” katanya.

Berkongsi pendapat sama, seorang lagi penghantar makanan, Suhaimi Harun, 58, dari Padang Besar berkata dia kini semakin jelas dengan manfaat PERKESO untuk pekerja gig selain kelebihan pelaksanaan RUU itu nanti.

“Saya harap program seumpama ini diteruskan lagi dengan turut melibatkan penyertaan agensi kerajaan lain berkaitan. Bagi saya, dengan adanya RUU Pekerja Gig ini, ia akan memperkasakan dan mengiktiraf peranan pekerja gig yang turut memberikan sumbangan kepada negara ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan