AM > BERITA

MyCARE Terus Aktif Beri Tekanan Kepada Israel Turuti Pelan Damai Dengan Hamas

12/10/2025 09:00 PM

SEPANG, 12 Okt (Bernama) -- Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) akan terus memainkan peranan aktif dalam memberi tekanan kepada Israel supaya melaksanakan pelan damai dengan Hamas seperti yang dipersetujui baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata pada masa ini, pihaknya akan melihat perkembangan berhubung perkara itu dari semasa ke semasa.

“Kami tahu Israel ini apa pun perjanjian sama ada peringkat Bangsa-Bangsa Bersatu ke, mereka akan menolak segala-galanya. Jadi, kami tengok dulu macam mana, bagaimana ia berlaku (berkaitan pelan damai Hamas-Israel),” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama pada Majlis Sambutan Kepulangan Sembilan Aktivis Malaysia yang menyertai misi Freedom Flotilla Coalition - Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini.

Kamarul Zaman berkata pasukan MyCARE juga telah mula bersiap siaga untuk menghulur bantuan ke Gaza susulan pelan damai, malah rakan strategik MyCARE turut meneliti keperluan sebenar yang perlu disalurkan kepada rakyat di wilayah berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata kehadiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bulan ini juga dilihat sebagai peluang terbaik untuk Kerajaan Malaysia serta ASEAN memastikan pelan damai berkenaan dipatuhi.

“Satu perkara yang baik ialah mengenai kedatangan Trump (ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47) terdapat satu lagi peluang yang boleh ditekan oleh mana-mana kerajaan, tidak hanya Kerajaan Malaysia tetapi ASEAN. Ini adalah acara ASEAN. Kerajaan-kerajaan ini boleh mendesak Trump untuk menekan Israel. Jadi, hanya untuk memastikan Israel ikut kata-kata dan janji-janji mereka,” katanya.

Media antarabangsa melaporkan, Trump pada Rabu mengumumkan Israel dan kumpulan Palestin Hamas telah mempersetujui fasa pertama pelan damai Gaza yang diusulkan oleh Amerika Syarikat.

Rundingan tidak langsung antara Israel dan Hamas telah berlangsung di Sharm El-Sheikh, Mesir sejak Isnin bagi membincangkan pelan Trump untuk menamatkan konflik itu.

Pelan 20 perkara itu, yang diumumkan pada 29 Sept lepas, merangkumi pembebasan tawanan Israel di Gaza, gencatan senjata dan pelucutan senjata Hamas. Kumpulan Palestin itu bersetuju secara prinsip terhadap pelan berkenaan.

Sementara itu, aktivis Malaysia yang turut menyertai misi FFC x TMTG Dr Fauziah Mohd Hassan berkata tekanan berterusan daripada masyarakat di seluruh negara termasuk melalui misi flotila telah memberi impak positif.

“Pada dasarnya nampak seperti tidak berjaya tetapi kita tahu gencatan senjata berlaku semasa kami ditahan… mungkin itu satu kebetulan tetapi juga mungkin hasil tekanan yang dilakukan oleh pelbagai negara.

“Kapal kami disertai wakil dari 22 negara dan dengan gelombang flotila ini, kita dapat lihat rakyat di seluruh dunia bangkit, bukan sahaja di bandar besar tetapi di bandar-bandar kecil untuk memberi tekanan kepada kerajaan masing-masing agar membantu Gaza,” katanya.

Terdahulu, Dr Fauziah bersama lapan lagi aktivis Malaysia yang ditahan tentera Israel pada 8 Okt lepas, tiba di Malaysia pada 4.01 petang hari ini.

Misi kemanusiaan FFC x TMTG itu melibatkan kira-kira 150 aktivis daripada 25 negara, menaiki sembilan kapal termasuk kapal Conscience dan Umm Saad yang dipintas tentera Zionis ketika berada kurang 120 batu nautika dari Gaza pada Rabu lepas, sebelum ditunda ke Pelabuhan Ashdod dan kemudiannya dipindahkan ke penjara Ketziot di Negev, Israel.

Lapan rakyat Malaysia yang berada di atas kapal Conscience ialah Ketua Delegasi Malaysia Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin, Dr Fauziah, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, Prof Dr Mohd Afandi Salleh, Dr Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar dan wartawan Astro Awani Syafik Shukri Abdul Jalil, manakala seorang lagi doktor perubatan Dr Maziah Muhammad berada di atas kapal Umm Saad.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan