AM > BERITA

UiTM Machang Perkasa Program Pra Diploma Bantu Pelajar Luar Bandar

12/10/2025 09:36 PM

MACHANG, 12 Okt (Bernama) -- Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan Kampus Machang akan memperkasakan pelaksanaan Program Pra Diploma bagi membantu pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak memenuhi syarat asas kemasukan ke universiti awam.

Rektor UiTM Cawangan Kelantan Prof Dr Mohd Afandi Mat Rani berkata program itu memberi tumpuan kepada penguasaan tiga subjek teras iaitu Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik yang menjadi syarat utama kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

“Disebabkan tiga subjek ini, banyak pelajar lepasan SPM khususnya dari luar bandar tidak dapat menyambung pengajian ke universiti walaupun memperoleh keputusan cemerlang dalam subjek lain.

“UiTM menyediakan Program Pra Diploma selama enam bulan bagi memberi peluang kepada mereka memperkukuh kemahiran asas sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat diploma dalam pelbagai bidang yang ditawarkan,” katanya kepada Bernama selepas Majlis Perasmian Program Bakti MADANI Mega di Masjid Kampung Dewan Besar di sini hari ini.

Beliau berkata Program Pra Diploma itu membantu pelajar meningkatkan penguasaan dalam Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains sebelum meneruskan pengajian dalam bidang kritikal seperti teknikal, sains dan teknologi.

Mohd Afandi berkata Program Pra Diploma UiTM bukan sahaja membuka ruang kedua kepada pelajar lepasan SPM, malah berperanan melahirkan masyarakat berilmu dan berdaya saing, sekali gus membantu membebaskan mereka daripada belenggu kemiskinan.

“Program ini sebenarnya telah dilaksanakan sejak lebih 10 tahun lepas, namun masih banyak masyarakat luar bandar belum tahu mengenainya. Sebab itu, UiTM mahu memperkasakan dan memperluaskan hebahan mengenai peluang ini,” katanya.

Beliau berkata penganjuran Program Bakti MADANI Mega pula menjadi platform bagi menyampaikan maklumat berkaitan UiTM kepada masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar.

“Program ini berteraskan semangat kekeluargaan melalui konsep anak angkat apabila pelajar UiTM turun padang memberi penerangan serta mendekati masyarakat kampung,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan