AM > BERITA

''Di Mana Putra ?" Teater Kanak-kanak Berskala Besar Pertama Dipentaskan Di Kelantan

12/10/2025 10:57 PM

KOTA BHARU, 12 Okt (Bernama) -- Buat julung kalinya, teater kanak-kanak berskala besar bakal dipentaskan di Kelantan menerusi karya produksi Anak Seni Pendidikan Kelantan (Aspek) berjudul “Di Mana Putra? Kembara Ilusi Merentas Imaginasi, Fantasi dan Realiti” yang dijangka menarik perhatian peminat seni persembahan tanah air.

Pementasan berdurasi sejam setengah itu, menampilkan lebih 20 pelakon dan akan berlangsung di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan, Tanjong Chat, pada Jumaat dan Sabtu ini bermula 9 malam. Tiket boleh dibeli secara dalam talian melalui platform Cloudjoy atau di reruai jualan yang disediakan.

Penulis skripnya, Lamia Aimal berkata teater itu mengangkat kisah “penyucian jiwa” watak utama, Putra, seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang nakal, gemar berfantasi dan sering mengambil kesempatan terhadap orang lain.

“Teater ini membawa penonton menyelami perjalanan Putra yang hilang secara misteri dan terperangkap dalam dunia fantasi dan bertemu pelbagai watak termasuk Jack Sparrow, Peter Pan serta tokoh tempatan seperti Tok Janggut, Sarjan Che Wan dan Tok Kenali. Melalui pengalaman itu, Putra akhirnya menyedari nilai jati diri sebenar dan kepentingan menghargai insan di sekelilingnya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarahnya Aqil Rozai berkata pementasan berkenaan turut menampilkan pelakon kanak-kanak daripada pelbagai sekolah serta alumni ASWARA yang dipilih khas melalui sesi uji bakat.

“Selain lakonan, persembahan diserikan dengan permainan rakyat Kelantan, segmen interaktif bersama kanak-kanak serta persembahan korus oleh 13 murid sekolah rendah. Kanak-kanak yang terlibat bukan sahaja mempelajari seni persembahan, malah membina keyakinan diri dan kemahiran berkomunikasi di hadapan khalayak ramai,” katanya.

Untuk maklumat lanjut dan tempahan tiket, orang ramai boleh menghubungi pihak Aspek di talian 012-955 9944 atau 014-5288 199. Tiket berharga RM10 bagi dewasa dan RM7 bagi kanak-kanak.

Sementara itu, Pengarah JKKN Kelantan, Rohaniza Abdullah berkata pementasan itu diadakan hasil inisiatif bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta JKKN bagi memberi ruang kepada penggiat teater tempatan menampilkan karya mereka. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan