AM > BERITA

16 Pengamal Media Terima Sumbangan Tabung Kasih@HAWANA Sempena Deepavali

13/10/2025 04:53 PM

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Seramai 16 pengamal media yang berdepan masalah kesihatan serta kesempitan hidup menerima sumbangan menerusi inisiatif Tabung Kasih@HAWANA sempena sambutan Deepavali yang bakal tiba tidak lama lagi.

Sumbangan itu disampaikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching di Wisma Bernama di sini hari ini dengan tema “Sinari Harapan, Utuhkan Perpaduan” yang mencerminkan semangat kasih dan kebersamaan selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi Mano Verabathran, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, serta Ketua Pengarang Bernama merangkap Pengarah Projek HAWANA 2025 Arul Rajoo Durar Raj.

Menurut Sekretariat Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025, antara penerima sumbangan ialah operator mesin Penerbitan Sahabat (M) Sdn Bhd M. Gopal, 58, penyusun atur huruf Malaysia Nanban Zubaidah Mohamed Sharrif, 55, bekas wartawan Nambikkai Sdn Bhd Ashwini Gopal Senthamarai, 26, bekas Pengarang Urusan Tamil Malar Datuk M. Periasamy, 73 yang diwakili anaknya P. Gunaseelan, dan bekas wartawan Tamil Malar R. Subramaniam, 69.

Turut menerima sumbangan ialah bekas jurufoto Makkal Osai P. Malayanadi, 67, bekas juruteknik mesin Tamil Nesan P. Krishnan, 66, bekas wartawan Malaysia Nanban Nagasamy Govindan, 76, operator penyusun atur huruf Malaysia Nanban R. Punitha, 40 dan V. Indria Gandhi, 58.

Penerima lain ialah Ketua Pengarang Malaysia Nanban M. Rajintheram, 69, Wartawan Malaysia Nanban S. S. Jeevaraja, 47, Ketua Editor Tamillens Online Media V. Yettrivanan, 37, Kunasundary Nagarajah, 44, dari Minnal FM Radio Televisyen Malaysia (RTM), Wong Zhi Zhen, 33 dari Meja Berita Mandarin Media Prima dan Wartawan Kanan Malaysia Gazette S.Kumara, 46.

Selain sumbangan wang tunai, para penerima turut menerima hamper dan barangan keperluan sebagai tanda penghargaan atas dedikasi serta jasa mereka dalam dunia kewartawanan.

Bagi media berbahasa Tamil, seramai 74 penerima telah menerima sumbangan Tabung Kasih@HAWANA bagi tempoh 2023 hingga 2025, manakala 44 lagi menerima inisiatif itu pada tahun ini.

Tabung Kasih@HAWANA yang dilaksanakan oleh Kementerian Komunikasi melalui Bernama telah memanfaatkan seramai 532 rakan media di seluruh negara sejak dilancarkan pada April 2023 sempena sambutan HAWANA.

Inisiatif ini menjadi simbol keprihatinan Kerajaan MADANI dalam menyemarakkan nilai ihsan, empati dan penghargaan terhadap pengamal media di negara ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan