KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) meneruskan usaha meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan mengurangkan pembaziran makanan menerusi Program Libat Urus Deepavali Lestari 2025 di Stadium Bukit Jalil di sini hari ini.
Timbalan Menterinya Datuk Aiman Athirah Sabu berkata program itu menumpukan kepada Kempen Hargai Makanan, Elak Pembaziran yang dilaksanakan bagi mendidik masyarakat agar lebih berhemah dalam menguruskan makanan terutama pada musim perayaan.
“Tumpuan kita sebenarnya adalah memastikan peniaga-peniaga kita dan pengunjung ingat supaya jangan membazir makanan kerana kita mahu kurangkan sebenarnya sisa pepejal yang dihantar ke tapak pelupusan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program berkenaan.
Beliau berkata Malaysia menghasilkan kira-kira 40,000 tan sisa pepejal setiap hari dengan 44.5 peratus atau kira-kira 18,000 tan daripadanya merupakan sisa makanan dan kempen itu juga selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 12.3 yang menyasarkan pengurangan separuh sisa makanan global menjelang 2030.
“Kalau kita tengok di peringkat dunia, ada kurang lebih 1 bilion tan sehari dihasilkan untuk sisa pepejal dan 60 peratus daripadanya adalah makanan. Kalau kita di Malaysia, kurang lebih 40 peratus.
Beliau berkata sikap membazir makanan adalah tidak sihat memandangkan masih terdapat ramai yang kelaparan di seluruh dunia.
“Di seluruh dunia ada kira-kira 800 juta manusia yang kelaparan dan dalam konteks Malaysia, program-program sebegini yang digerakkan oleh SWCorp adalah satu daripada advokasi kepada rakyat kita supaya pada masa yang sama kita bergembira dan tidak membazir,” katanya.
Kempen itu juga, katanya menekankan kepentingan mengurangkan penggunaan plastik sekali guna dan mengamalkan pembuangan sampah secara berhemah.
Aiman Athirah berkata sebanyak 300 gerai makanan menyertai program berkenaan dengan penyertaan 50 petugas SWCorp yang digerakkan sejak 11 Okt lepas dan akan berakhir pada 19 Okt.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp Khalid Mohamed berkata pihaknya komited memastikan tahap kebersihan negara berada pada tahap terbaik dengan kerjasama rakan strategik seperti Alam Flora Sdn Bhd.
“Kami dengan rakan strategik seperti Alam Flora memang mempunyai komitmen yang paling tinggi sebenarnya. Kami ingin memastikan tanah air kita bersih dan yang paling penting sekali kebersihan kita setara dengan negara-negara maju,” katanya.
Program Libat Urus Deepavali Lestari 2025 dilaksanakan dengan kerjasama Agenda Suria Communication Sdn Bhd serta penglibatan sukarelawan Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia dan ReMeal. Ia turut merangkumi edaran apron, topi dan pelekat kesedaran kepada peniaga serta pengedaran muruku dan bekas makanan kepada pengunjung.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial