Oleh Ummu Khalidah Hamzah
KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Penglibatan wanita dalam misi kemanusiaan bukan sekadar pelengkap, sebaliknya memainkan peranan strategik khususnya di zon konflik yang membabitkan golongan paling terkesan seperti kanak-kanak dan ibu tunggal.
Aktivis kemanusiaan Nurfarahin Romli, 32, atau lebih dikenali sebagai Farah Lee berkata sifat semula jadi wanita yang penyayang dan lembut memberi kelebihan unik kepada mereka dalam menyantuni mangsa yang trauma dan memerlukan sokongan emosi.
“Fitrah wanita itu lembut, apabila kita (wanita) berinteraksi dengan kanak-kanak, mereka secara tidak langsung jadi rapat dengan aktivis wanita. Hal ini memudahkan kita untuk menghibur dan memberi sokongan moral kepada mereka.
“Berdasarkan pengalaman saya semasa menyertai misi kemanusian di Syria, Afghanistan, terdapat ibu-ibu tunggal di sana yang tidak selesa jika ditemui aktivis lelaki, jadi kami wanita yang akan menyantuni mereka serta menghantar bantuan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berkongsi pengalaman sepanjang misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza dalam temu bual bersama Bernama Radio di sini hari ini.
Berkenaan penyertaan wanita berstatus isteri dalam misi terbabit, Farah Lee yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Kebajikan FL, menjelaskan bahawa setiap individu yang dipilih menyertai itu mempunyai kapasiti serta kepakaran masing-masing.
“Saya sendiri dipilih kerana pengalaman misi kebajikan sebelumnya dan kemampuan saya dari segi media sosial iaitu saya mempunyai bilangan followers (pengikut) yang tinggi membolehkan mesej misi ini disebarkan lebih meluas berbanding suami saya.
“Saya memang sudah aktif dalam misi kemanusiaan antarabangsa sejak 2018, semasa saya masih lagi seorang ibu tunggal. Dalam perkahwinan baharu saya, suami saya sudahpun sedia maklum dengan kerjaya saya dan menerima hakikat bahawa tanggungjawab kemanusiaan adalah sebahagian daripada hidup saya,” katanya.
Dalam program berkenaan, beliau turut berkongsi cabarannya semasa ditahan tentera Zionis termasuk penafian hak beragama apabila tudungnya serta sukarelawan yang berhijab diambil secara paksa, dinafikan akses perubatan, selain keperluan asas wanita.
Pada masa sama, beliau menekan pengalaman misi kemanusiaan yang dikongsi itu bukan untuk mengejar publisiti seperti didakwa segelintir individu tetapi memberi peluang kepada masyarakat di negara ini untuk memahami penderitaan sebenar rakyat Palestin dengan lebih dekat.
“Melalui perkongsian pengalaman ini, orang Malaysia dapat merasai penderitaan rakyat Palestin lalui meskipun hanya secebis. Ini penting supaya rakyat lebih cakna dan tergerak untuk memberi sokongan penuh dalam membebaskan negara itu daripada jajahan Israel.
“Saya sebagai ibu juga cuba mendidik anak saya, Maream, tentang empati, keberanian dan kepedulian terhadap penderitaan global. Saya bawa dia bersama dalam misi kemanusian seperti di kem pelarian Syria di Jordan, supaya dia faham pentingnya misi kebajikan ini dengan harapan dia juga akan jadi sukarelawan satu hari nanti,” katanya.
Beliau juga berharap momentum sokongan dan keprihatinan yang diberikan kepada mangsa penindasan di Gaza dapat diteruskan serta lebih ramai individu menyertai misi kemanusian tanpa mengira gender, agama atau latar belakang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial