AM > BERITA

Kebun Nuri Nutrisi Mampu Lahirkan Generasi Celik Usahawan - Ewon

13/10/2025 09:44 PM

KOTA BELUD, 13 Okt (Bernama) -- Pelaksanaan program Kebun Nuri Nutrisi oleh Bank Rakyat di Sekolah Kebangsaan (SK) Narinang di sini mampu melahirkan generasi celik keusahawanan sejak di bangku sekolah, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata program itu bukan sahaja memperkenalkan murid kepada amalan pemakanan sihat, malah memberi peluang kepada mereka mempelajari asas keusahawanan dan pertanian secara praktikal.

“Kita mahu semangat keusahawanan bermula dari sekolah dan berkembang apabila mereka dewasa nanti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan kebun berkenaan di sini hari ini.

Kebun Nuri Nutrisi di SK Narinang melibatkan projek tanaman hidroponik sayur salad membabitkan 540 pasu yang diuruskan oleh 20 murid Kelab Sains Sekolah sebagai sebahagian daripada pengisian pendidikan dan keusahawanan.

Bank Rakyat turut menyalurkan sumbangan berjumlah RM19,825 yang memberi manfaat kepada 70 murid sekolah berkenaan. Ini merupakan projek ke-29 yang dilaksanakan Bank Rakyat di sekolah-sekolah seluruh negara sejak inisiatif itu diperkenalkan pada 2020.

Sejak 2021 hingga kini, program Kebun Nuri Nutrisi telah memberi manfaat kepada lebih 26,000 pelajar B40 daripada 29 institusi pendidikan di seluruh negara, sekali gus menjana lebih RM55,000 hasil jualan daripada lebih 17,000 kilogram tanaman yang dituai.

Ewon berkata Bank Rakyat merupakan antara agensi di bawah KUSKOP yang paling aktif melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di seluruh negara, termasuk di kawasan luar bandar seperti Narinang.

Terdahulu, Ewon turut melawat Hospital Kota Belud dan Wad Kanak-kanak untuk menyampaikan sumbangan di bawah inisiatif BaktiRAKYAT Bank Rakyat.

Sumbangan tersebut merangkumi pembinaan laluan pejalan kaki baharu di hospital berkenaan, manakala UDA Holdings turut menyumbangkan 10 kerusi roda serta keperluan lain bagi kegunaan wad kanak-kanak dan wad awam.

Ewon merakamkan penghargaan kepada kedua-dua agensi di bawah KUSKOP itu atas keprihatinan terhadap kesejahteraan masyarakat.

“Inisiatif seperti ini bukan sahaja membantu komuniti setempat, tetapi juga memperkukuh peranan agensi di bawah KUSKOP dalam memperkasa keusahawanan sosial dan tanggungjawab korporat,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan