MELAKA, 13 Okt (Bernama) -- Uruguay terus membuktikan keunggulan mereka apabila mencatatkan kemenangan kedua berturut-turut selepas menewaskan Uzbekistan 2-1 dalam aksi persahabatan di Stadium Hang Jebat, Krubong di sini malam ini.
Juara dunia dua kali itu tampil cemerlang pada separuh masa kedua selepas beraksi berhati-hati sepanjang babak pertama yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.
Torres Peres membuka tirai jaringan buat skuad La Celeste pada minit ke-51 menerusi sepakan deras yang menewaskan penjaga gol Uzbekistan Nematov Abduvohid.
Uruguay menggandakan jaringan sembilan minit kemudian apabila Juan Manuel Sanabria melepaskan rembatan ke arah gawang lawan.
Uzbekistan yang menghuni ranking ke-54 dunia dan layak ke saingan Piala Dunia 2026 bagaimanapun enggan mengaku kalah apabila Jiyanov Ruslanbek merapatkan jurang pada minit ke-82, sekali gus menewaskan Franco Israel Wibmer yang gagal menampan kemas hantaran lawan.
Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan pada baki masa perlawanan, namun Uruguay berjaya mengekalkan kelebihan hingga wisel penamat untuk menutup siri aksi persahabatan di Malaysia dengan bergaya.
Terdahulu, dalam perlawanan persahabatan pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil Jumaat lepas, Uruguay menundukkan Republik Dominica 1-0 hasil jaringan tunggal Maximiliano Araujo.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial