Oleh Mohamad Harith Mohamad Nizar
IPOH, 14 Okt (Bernama) -- Sambutan Deepavali atau Pesta Cahaya tidak hanya mengenai merayakan kemenangan mengatasi kejahatan, tetapi juga memfokuskan kepada aspek kebersihan, kemakmuran dan disiplin diri.
Semua aspek berkenaan terzahir melalui kilauan vilakku atau pelita tradisional yang bagi masyarakat India terutamanya di Malaysia bukan sekadar hiasan, malah membawa makna mendalam.
Maka, setiap kali menjelang sambutan Deepavali, pelita tembaga atau loyang berkenaan menjadi antara kelengkapan penting dan perlu dipastikan dalam keadaan berkilau.
Pengarah Cleanstant Metal Polishing (Cleanstant) K. Letchumi Devi, 69, yang menjalankan perkhidmatan membaik pulih serta menggilap vilakku berkata, diperbuat daripada tembaga, ia dianggap sebagai objek yang dapat menyerap tenaga dan getaran positif semasa upacara keagamaan.
Beliau berkata vilakku yang berkilat mencerminkan penjagaan rapi dan disiplin pemiliknya yang turut melambangkan kesediaan untuk menerima kemakmuran dan kebahagiaan, sambil menekankan perayaan Deepavali adalah masa bagi menyambut hal-hal baik dalam kehidupan.
"Sambutan Deepavali adalah berkaitan perjalanan dari kegelapan kepada menuju cahaya terang, itu adalah perkara utama. Ia (Deepavali) tentang kehidupan, kesihatan, kemakmuran dan kebahagiaan semua," katanya di pejabatnya di sini baru-baru ini.
Letchumi Devi berkata vilakku yang berkilat juga melambangkan penjagaan terhadap tradisi dan kebudayaan, selain vilakku memiliki pelbagai jenis antaranya Kamachi Vilakku yang sering diletakkan di bilik sembahyang dan Man Vilakku (daripada tanah liat).
Beliau berkata vilakku berlapis atau bertingkat juga sangat popular kerana dipercayai melambangkan kemakmuran yang berlipat ganda.
Sementara itu, anak sulungnya yang juga pengarah syarikat tersebut B. Kanishen, 40, berkata tiada syarat yang diletakkan terhadap kebersihan vilakku itu sendiri, namun menjadi lebih baik sekiranya ia berkilat dan bersih.
“Naluri kita adalah kalau ia (vilakku) berkilat, kita menjaga kebersihan. Jadi, kita boleh katakan lagi berkilat vilakku, lagi bagus," katanya yang dilahirkan di Kuala Lumpur tetapi membesar di Ipoh sambil memaklumkan kewajipan menjaga kilauan itu mencetuskan peluang perniagaan unik untuk syarikatnya.
Kanishen berkata Cleanstant yang bermula pada 2015 menawarkan perkhidmatan penggilapan dan pemulihan logam tembaga serta loyang.
Bagaimanapun, Kanishen berkata beliau menyedari bahawa penggilapan secara konvensional hanya mampu bertahan selama satu hingga dua minggu sebelum berlakunya proses pengoksidaan yang menyebabkan tembaga kembali kusam atau kehitaman.
Beliau berkata justeru, Cleanstant tidak hanya menyediakan perkhidmatan penggilapan menggunakan teknologi gred industri yang mampu bertahan hingga lima tahun untuk barang yang tidak digunakan, malah turut menawarkan perkhidmatan sadur emas yang memberikan kilauan luar biasa dan jangka masa yang lebih lama.
"Vilakku yang disadur emas akan lagi terang. Selain kilat, sadur emas juga dari segi getaran tenaga, kami percaya ia lebih cepat menyerap (tenaga)," katanya sambil memaklumkan bahawa harga perkhidmatan mereka bermula serendah RM60 hingga mencecah ribuan ringgit mengikut saiz item berkenaan.
Beliau berkata selain perkhidmatan memulihkan vilakku lama yang masyarakat India enggan membuang walaupun rosak teruk kerana nilai sentimental dan spiritual, Cleanstant turut mengeluarkan produk inovatif yang telah dipatenkan.
Kanishen berkata produk Thiri Holder atau pemegang sumbu tembaga, telah terjual lebih 40,000 unit sejak dilancarkan Ogos tahun lepas.
“Thiri Holder berfungsi meninggikan kedudukan sumbu api supaya tidak menyentuh bahagian dasar vilakku, sekali gus mencegah kerosakan dan kehitaman pada badan (struktur) vilakku terutamanya jenis tanah liat.
“Produk lain yang baru dilancarkan termasuk Thiri Adjuster, alat yang membolehkan pengguna melaras sumbu api tanpa perlu memadamkan nyalaan,” katanya.
Kanishen berkata permintaan terhadap perkhidmatan penggilapan di Cleanstant yang beroperasi di Ipoh, Subang (Selangor) dan Johor Bahru (Johor), meningkat kira-kira 50 peratus menjelang perayaan besar seperti Deepavali dan Ponggal.
Sungguhpun begitu, beliau berkata jualan produk inovatif seperti Thiri Holder adalah stabil sepanjang tahun dengan purata 150 hingga 250 unit sehari dan permintaan bukan sahaja dari Malaysia tetapi juga antaranya Singapura, Amerika Syarikat dan Australia.
Kanishen berkata syarikatnya optimis untuk terus berkembang memandangkan masih ramai yang belum mengetahui kewujudan perkhidmatan khas yang ditawarkan oleh syarikatnya itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial