KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Permohonan kemasukan pelajar ke Institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Awam bagi sesi Januari 2026 dibuka mulai semalam hingga 16 Nov depan.
Sekretariat Majlis TVET Negara dalam kenyataan hari ini memaklumkan permohonan melalui UP_TVET Perdana itu boleh dibuat menerusi pautan https://mohon.tvet.gov.my/main/perdana.
Menurut kenyataan itu, 94 Institusi TVET Awam di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Kementerian Sumber Manusia serta Kementerian Belia dan Sukan menawarkan 460 kursus di peringkat ijazah, diploma, dan sijil bagi pengambilan sesi Januari 2026.
Institusi berkenaan terdiri daripada Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM), Institut Kemahiran MARA/Kolej Kemahiran Tinggi MARA, German-Malaysian Institute (GMI), Kolej KEDA dan Kolej RISDA.
Turut tersenarai ialah Kolej KETENGAH, Akademi Kemahiran KEMAS, Kolej Teknologi Termaju (ADTEC), Institut Teknikal Jepun-Malaysia (JMTI), Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN).
Kenyataan itu turut menyebut bahawa permohonan dibuka kepada lepasan sekolah, belia serta individu yang berminat membina kerjaya melalui TVET, dan calon yang layak digalakkan merebut peluang mengikuti kursus yang ditawarkan oleh Institusi TVET Awam.
“Pada sesi Julai 2025 lepas, UP_TVET Perdana menerima 182,162 permohonan daripada 42,365 pemohon. Seramai 23,038 calon ditawarkan tempat mengikuti pengajian sepenuh masa di pelbagai Institusi TVET Awam,” menurut kenyataan itu.
Sebarang pertanyaan berkaitan permohonan kemasukan ke Institusi TVET Awam boleh dikemukakan melalui emel di up_tvet@mohr.gov.my atau menghubungi talian berikut 019-2318243, 019-2318264 atau 019-2318291.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial