POLITIK > BERITA

PRN SABAH: GRS-PH SUDAH MUKTAMAD AGIHAN KERUSI - HAJIJI

14/10/2025 08:47 PM

TAMBUNAN, 14 Okt (Bernama) -- Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) telah memuktamadkan agihan kerusi masing-masing untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17, kata Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor.

Bagaimanapun, Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah berkata agihan berkenaan hanya akan diumumkan pada hari penamaan calon.

“Ya, kami sudah tahu (tetapi) saya tidak boleh umumkan sekarang. Tunggu sahaja pada hari penamaan calon dan anda akan tahu bilangannya,” katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Agama Negeri (SAN) Pekan Tambunan di sini hari ini.

Hajiji turut menyatakan keyakinan bahawa mandat rakyat akan dikembalikan kepada GRS-PH berdasarkan rekod cemerlang pentadbiran selama lima tahun.

“Kami akan menawarkan yang terbaik kepada rakyat Sabah. Kami telah mencapai banyak kejayaan melalui pelbagai program sosioekonomi untuk rakyat. Kami telah membawa pelaburan berimpak tinggi bagi merancakkan pembangunan ekonomi Sabah," katanya.

Beliau juga berkata kerajaan Sabah telah membelanjakan lebih RM1.3 bilion untuk inisiatif pembangunan modal insan.

"Kami juga memberi bantuan bulanan sebanyak RM300 kepada golongan miskin tegar dalam senarai e-Kasih. Kami turut mencatat kejayaan dalam industri minyak dan gas. Pembangkang cuba menafikan kejayaan ini, tetapi saya percaya rakyat kini matang dan akan menghargai pencapaian kami,” katanya.

Hajiji turut menyatakan bahawa Pilihan Raya Negeri kali ini akan lebih meriah dengan banyak parti politik telah mengumumkan hasrat mereka untuk bertanding.

“Marilah kita meraikan demokrasi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan