AM > BERITA

Ahli Parlimen Mahu Peruntukan Besar KPM Digunakan Bagi Jamin Keselamatan Di Sekolah

14/10/2025 05:57 PM

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Ahli Parlimen menyarankan supaya peruntukan besar berjumlah RM66.2 bilion bagi Kementerian Pendidikan (KPM) dalam Belanjawan 2026 tidak digunakan semata-mata untuk pembangunan fizikal, tetapi juga bagi menjamin keselamatan di sekolah.

Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan sistem pemantauan berasaskan data terhadap kes buli dan salah laku pelajar, di samping melatih guru untuk meningkatkan kemahiran bagi mengenal pasti tanda awal masalah tingkah laku dan bertindak secara proaktif.

Beliau juga mencadangkan modul empati dan ihsan diwajibkan di sekolah, selain bilangan guru kaunseling dan pegawai psikologi ditingkatkan dengan nisbah sekurang-kurangnya seorang kaunselor bagi setiap 200 pelajar bagi mengekang gejala sosial yang semakin meruncing mutakhir ini.

Doris Sophia berkata berdasarkan laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM), lebih 3,000 kes buli direkodkan antara 2022 hingga 2024, dengan hampir 60 peratus berlaku di sekolah.

“Lebih membimbangkan, 400 kes cabul dan rogol melibatkan remaja bawah umur direkodkan pada tahun lepas sahaja. Ini bukan sekadar angka atau statistik, tetapi gambaran nyata tentang cabaran nilai dan sahsiah anak-anak kita,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di Dewan Rakyat hari ini.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) turut menyuarakan kebimbangan terhadap insiden jenayah serius dalam persekitaran sekolah termasuk kejadian terbaharu seorang pelajar perempuan yang maut ditikam di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya, hari ini.

Justeru, beliau mencadangkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah selain tindakan tegas terhadap pihak yang mempunyai kaitan dalam kes jenayah di sekolah termasuk ke atas warden dan pengetua.

Syed Saddiq berkata kerajaan perlu lebih tegas menguatkuasakan dasar 'you touch, you go' dalam menangani buli di sekolah dengan mengambil tindakan segera termasuk mendakwa pesalah sebagai isyarat jenayah buli tidak akan ditoleransi.

Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) ketika mencelah perbahasan Syed Saddiq pula  mencadangkan supaya kerajaan mewajibkan semua individu yang bekerja di sekolah termasuk guru, pengawal keselamatan dan pekerja pembersihan, menjalani ujian seperti dilaksanakan di Australia bagi mendapatkan sijil Working with Vulnerable People sebelum dibenarkan bekerja.

Beliau berkata isu keselamatan di sekolah boleh menyebabkan defisit kepercayaan ibu bapa terhadap sistem persekolahan kebangsaan.

Yeo Bee Yin (PH-Puchong) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat Dewan Rakyat berkata pihaknya akan memanggil KPM dan PDRM untuk sesi pendengaran jawatankuasa itu, sebelum membentangkan penyata mengenai keselamatan sekolah di Parlimen.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan