KENINGAU, 14 Okt (Bernama) -- TEKUN Nasional, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), menyalurkan pembiayaan sebanyak RM109 juta kepada 4,675 usahawan TEKUN di seluruh Sabah sejak Januari hingga September tahun ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata daripada jumlah itu, Parlimen Keningau menerima sebanyak RM8.6 juta pembiayaan untuk 444 usahawan bagi tempoh yang sama.
"Secara keseluruhannya, sejak ditubuhkan pada 1998 hingga September 2025, TEKUN Nasional telah menyalurkan RM1.26 bilion kepada 67,248 usahawan di Sabah. Bagi Parlimen Keningau sahaja, sebanyak RM57.6 juta disalurkan kepada 2,904 usahawan dalam tempoh sama," katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Usahawan TEKUN Nasional di Tamu Pekan Bingkor di sini hari ini.
Ewon berkata kerajaan sentiasa meletakkan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta industri mikro sebagai tunjang utama pembangunan ekonomi negara, khususnya di Sabah yang kaya dengan potensi keusahawanan.
Beliau berkata Belanjawan 2026 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, membuktikan komitmen kerajaan dengan memperuntukkan RM2.5 bilion kepada agensi termasuk TEKUN Nasional dan Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi manfaat usahawan mikro.
"Kejayaan perniagaan bukan hanya bergantung kepada modal, tetapi juga ilmu dan kemahiran keusahawanan. Sertailah program latihan dan bimbingan yang disediakan oleh agensi di bawah KUSKOP," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial