AM > BERITA

Belanjawan 2026 Gabungan Seimbang Lindungi Pengguna - CAP

15/10/2025 01:06 PM

GEORGE TOWN, 15 Okt (Bernama) -- Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyifatkan Belanjawan 2026 sebagai gabungan seimbang antara langkah perlindungan pengguna, kebajikan sosial dan pembangunan mampan.

Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata beberapa inisiatif mesra rakyat yang diumumkan, khususnya pelaksanaan Lemon Law serta cadangan penggubalan Rang Undang-undang Antibuli wajar dipuji sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata Lemon Law menjadi remedi untuk pembeli produk pengguna, terutamanya kenderaan bermotor yang berulang kali gagal memenuhi standard kualiti dan prestasi.

"Ia mengukuhkan Akta Perlindungan Pengguna (CPA) dan memberi pengguna yang dibebani dengan ‘lemon’, produk yang kelihatan menarik tetapi ternyata rosak sebagai suatu jalan yang berpatutan dan boleh diakses untuk penyelesaian undang-undang.

"CPA memberikan pengguna Malaysia hak untuk menuntut terhadap syarikat yang menjual barangan yang rosak atau menyediakan perkhidmatan yang kurang baik, namun had tuntutan sedia ada sebanyak RM50,000 membatalkan kelayakan kebanyakan kes berkaitan kenderaan daripada diteruskan melalui Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Mohideen berkata penggubalan pindaan baharu Peraturan-Peraturan Pendidikan (Disiplin Pelajar) di bawah Akta Pendidikan 1996 sememangnya perlu disegerakan, lebih-lebih lagi dengan peningkatan kes buli di sekolah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Buli di sekolah ialah isu kompleks yang dipengaruhi oleh pelbagai faktor termasuk keibubapaan, persekitaran sosial serta pendedahan kepada keganasan dan kekejaman, justeru Kementerian Pendidikan (KPM) perlu menguatkuasakan Akta Antibuli yang sedang digubal dengan lebih tegas,” katanya.

Mohideen juga berkata peruntukan RM1.6 bilion bagi Dana Keterjaminan Makanan amat penting bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap import makanan dan inisiatif itu pada masa sektor pertanian sedang bergelut dengan produktiviti yang rendah, pembandaran pesat, perubahan iklim serta cabaran pengurusan air.

Selain itu, peruntukan RM300 juta untuk membersihkan dan memulihkan sungai juga disifatkan sebagai satu langkah positif dalam usaha melindungi alam sekitar. 

Pada Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Belanjawan 2026 yang mengumpulkan sumber berjumlah RM470 bilion, dengan tumpuan kepada pengukuhan daya tahan ekonomi dan sokongan kepada perniagaan kecil di tengah-tengah ketidaktentuan global.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan