KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Golongan usahawan dan koperasi digesa supaya memanfaatkan sepenuhnya pelbagai insentif yang disediakan kerajaan menerusi Belanjawan 2026, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.
Beliau berkata belanjawan yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim Jumaat lepas memperuntukkan tidak kurang daripada RM50 bilion termasuk dana dan jaminan pembiayaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), koperasi, perusahaan sosial serta industri francais.
“Semua ini hanya kekal dalam rancangan belanjawan sekiranya usahawan-usahawan PMKS dan koperasi tidak datang kepada kerajaan atau kementerian untuk mendapatkan perkhidmatan.
“Peruntukan ini bukan hanya melibatkan kemudahan pembiayaan, tetapi turut merangkumi latihan, bimbingan keusahawanan dan akses kepada pasaran bagi membantu memperkukuh daya saing usahawan tempatan,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu pada program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, hari ini.
Sementara itu, Ewon berkata motivasi utama kementeriannya adalah semangat kebersamaan warga KUSKOP dan agensi-agensinya bagi memastikan setiap inisiatif dapat diterjemahkan kepada impak sebenar di lapangan.
“Kami percaya kejayaan usahawan bermula daripada inspirasi. Kalau usahawan lain boleh berjaya, tiada sebab mengapa yang lain tidak boleh. Oleh itu, kami sentiasa berkongsi kisah kejayaan usahawan dan koperasi yang menerima bantuan kementerian sebagai dorongan kepada pemegang taruh lain,” katanya.
Dalam temu bual dengan Bernama TV itu juga, Ewon menekankan kepentingan teknologi dan digitalisasi seperti transaksi tanpa tunai melalui QR Pay dalam memperkasakan perniagaan, terutamanya dalam kalangan peniaga kecil dan penjaja di Sabah dan Sarawak, selaras dengan Dasar Pembangunan Penjaja Peniaga Kecil.
Selain itu, KUSKOP juga memberi fokus khusus kepada pembangunan perusahaan sosial dan pengukuhan gerakan koperasi melalui pelaksanaan Dasar Koperasi Negara dan pelbagai inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Setakat 2024, terdapat lebih 16,000 koperasi dengan keanggotaan 7.2 juta anggota dan perolehan RM68 bilion, menunjukkan pencapaian melebihi sasaran awal.
Beliau menggesa semua pemegang taruh, termasuk pesara, belia dan bakal usahawan untuk memanfaatkan pelbagai program yang disediakan oleh KUSKOP dan agensi-agensinya bagi membina usahawan yang berdaya tahan, mampan dan berinovasi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial