Oleh Nur Fadhliana Shaari
PONTIAN, 16 Okt (Bernama) -- Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) terus memperkasakan inovasi berasaskan nanas dengan menghasilkan dan memperkenalkan produk anyaman daripada daun nanas, satu langkah yang berpotensi membuka peluang ekonomi baharu kepada komuniti luar bandar sekali gus mengurangkan sisa pertanian.
Pengarah Bahagian Pembangunan Produk dan Bioteknologi LPNM Elmie Adha Ismail berkata inisiatif itu sebahagian daripada pelaksanaan konsep tiga kali tuaian, iaitu pendekatan yang mengoptimumkan tiga jenis tuaian daripada tanaman nanas, iaitu buah, benih, dan sisa.
“Pokok nanas bukan sekadar menghasilkan buah sebagai hasil utama, malah turut memberi pulangan melalui tuaian benih dan sisa. Daripada sisa inilah kami membangunkan pelbagai produk bukan makanan seperti benang, kertas, dan terkini, anyaman daun nanas,” katanya kepada Bernama di Kampung Rimba Terjun, Pontian baru-baru ini.
Beliau berkata projek anyaman daun nanas bermula pada awal 2024 selepas LPNM berjaya mengadaptasi teknologi pemprosesan dari luar negara.
Pelbagai siri latihan dan program pemindahan teknologi dilaksanakan untuk membantu banyak pengusaha tempatan menghasilkan produk berasaskan daun nanas, menyaksikan sambutan paling menggalakkan datang daripada komuniti usahawan wanita dan pengusaha kraf tangan seperti di Sarawak.
Beliau berkata LPNM telah bekerjasama dengan pengusaha di Johor dan kini dalam program mewujudkan kumpulan komuniti anyaman di Sarawak bagi memanfaatkan sisa daun nanas sebagai bahan alternatif menggantikan rotan dan buluh yang semakin berkurangan.
Kini produk keluaran mereka semakin berjaya menembusi pasaran tempatan serta menjadi identiti baharu bagi segmen kraf tangan dan fesyen.
Bagi hala tuju untuk memperluas produk ini, LPNM akan mewujudkan lebih ramai pengusaha terlibat terutamanya melalui kelompok atau komuniti serta sedia bekerjasama dengan pemain industri dalam kraf tangan dan pereka fesyen.
Menyentuh mengenai produk sisa, LPNM turut mengukuhkan rantaian tuaian sisa dengan penghasilan 'Pinapeat', yang juga produk separa pemprosesan daripada sisa nanas yang telah melalui proses pengeringan.
“Projek perintis sisa nanas berskala komersial yang akan mula beroperasi tahun ini di Rompin, Pahang bertujuan mengeluarkan lebih banyak Pinapeat bagi kegunaan industri makanan ternakan dan penghasilan pulpa mentah bagi kegunaan produk seperti kertas, kotak dan pembungkus makanan.
“Kini, terdapat juga permintaan daripada syarikat Jepun untuk mengimport Pinapeat ini bagi dijadikan makanan ternakan mereka, dan sampel telah pun dihantar ke makmal untuk analisis kandungan nutrisi.
“Dengan hampir 19,000 hektar tanaman nanas di Malaysia yang dianggarkan mempunyai lebih 800 juta pokok, sumber bahan mentah untuk industri serat ini serta lain-lain produk dianggap sangat besar dan berpotensi tinggi untuk diterokai,” katanya.
Sementara itu, usahawan Benang Serat Nanas M & Z, Munah Abd Kadir, 52, berkata langkah LPNM ‘mengangkat’ anyaman nanas sebagai produk bernilai tinggi membuktikan komitmen berterusan lembaga itu dalam memanfaatkan “tanaman seribu guna” ini.
Usahawan itu yang telah lebih sedekad mengusahakan benang nanas berkata proses menghasilkan benang bukan mudah kerana memerlukan ketelitian, kesabaran, dan kemahiran halus yang diwarisi secara turun-temurun.
Berbanding dengan produk anyaman, daun yang dipilih perlu matang, direbus selama 15 minit, kemudian direndam dalam air sejuk bersama bahan penstabil semula jadi (asam keping) selama 24 jam bagi mengekalkan keaslian warna dan mengelakkan kulat tanpa penggunaan bahan kimia.
Selepas itu, daun berkenaan dikeringkan di kawasan berbumbung menggunakan haba semula jadi sebelum dipotong menggunakan alat khas untuk menghasilkan daun yang sekata.
“Lebih istimewa, produk kraf berasaskan serat nanas semuanya dibuat secara semula jadi tanpa bahan kimia, dan tiga varieti nanas utama digunakan, iaitu Josapine, N36, dan MD2 bagi menghasilkan tekstur dan kekuatan serat yang berbeza,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial