KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) dijangka mengumumkan nama calon dan kerusi yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 seminggu sebelum hari penamaan calon, kata Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
"BN tidak akan bertanding di seluruh 73 kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) dan kita akan teliti kawasan fokus," kata Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV di sini malam ini.
Mengulas kesiapsiagaan menghadapi pilihan raya itu, Ahmad Zahid berkata BN akan melipatgandakan usaha untuk memperoleh kemenangan bagi setiap DUN ditandingi susulan kekalahan yang dialami dalam PRN Sabah ke-16 pada 2020.
Beliau turut mengulangi pendirian BN untuk tidak bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN kali ini, namun mengakui ia memerlukan kerjasama politik dengan parti lain untuk membentuk kerajaan negeri.
"Setakat ini tiada penganalisis sebut ada parti atau gabungan boleh bentuk kerajaan dengan majoriti, ertinya realiti politik Sabah mesti ada jalinan terutama kerjasama semasa prapilihan raya dan pascapilihan raya," katanya.
Terdahulu, semasa menjadi tetamu program Ruang Bicara itu, Ahmad Zahid berkata beliau telah menerima senarai calon dengan sekurang-kurangnya tiga hingga lima bagi setiap DUN yang akan ditandingi.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17, penamaan calon pada 15 Nov dan tarikh pengundian awal pada 25 Nov.
Pada 6 Okt, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran DUN Sabah bagi memberikan laluan kepada pilihan raya negeri itu.
DUN Sabah mempunyai 79 kerusi, dengan 73 daripadanya dipertandingkan, manakala enam lagi merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri yang dilantik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial