AM > BERITA

Belanjawan 2026: Insentif Cukai Lonjak Sektor Pelancongan, Sokong Kempen TMM 2026

16/10/2025 10:30 AM

PUTRAJAYA, 16 Okt (Bernama) -- Pelbagai insentif cukai yang diperkenalkan bagi sektor pelancongan dan kebudayaan di bawah Belanjawan 2026 dilihat sebagai langkah strategik untuk merangsang semula pelaburan dan penyertaan aktif dalam industri pelancongan sekali gus memperkukuh kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).

Antara insentif utama termasuk potongan cukai atas perbelanjaan layak terhad hingga RM500,000  kepada pengusaha projek pelancongan yang melakukan ubah suai dan pembaharuan premis perniagaan selain insentif pengecualian cukai menarik bagi menggalakkan kedatangan pelancong asing ke Malaysia.

Selain itu, pelepasan khas cukai pendapatan individu turut diberikan hingga RM1,000 atas perbelanjaan bayaran fi kemasukan ke pusat pelancongan tempatan dan program kebudayaan.

Pakar Perniagaan Rekreasi dan Pemasaran Pelancongan yang juga Dekan Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia Prof Dr Azlizam Aziz berkata insentif potongan cukai itu memberi dorongan langsung kepada pengusaha industri untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan, menaik taraf kemudahan dan memperluas aktiviti promosi.

“Pelepasan khas cukai pendapatan individu pula merupakan langkah yang positif dan strategik untuk merancakkan sektor pelancongan domestik sempena TMM 2026.

“Insentif ini bukan sahaja dapat meringankan beban kewangan rakyat yang ingin melancong, tetapi juga berpotensi memberi suntikan langsung kepada ekonomi tempatan, terutama kepada pengusaha kecil dan sederhana seperti penginapan, pengangkutan, makanan tempatan dan aktiviti kebudayaan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata pengusaha produk pelancongan tempatan perlu menjadi lebih kreatif dalam mencipta produk pelancongan untuk menarik dan menggamit kedatangan pelawat domestik, serta memanfaatkan media sosial untuk promosi.

“Kelemahan kita daripada aspek pengusaha tempatan adalah kreativiti menarik minat bakal pelawat. Bandingkan sahaja dengan negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam.

“Produk yang mereka tawarkan unik dan menjadi kelebihan kepada mereka. Elakkan budaya meniru dalam pembangunan produk. Contoh, jika Thailand berjaya dengan pasar terapung mereka, tak perlu kita cuba copy paste yang sama,” katanya sambil menambah kempen TMM 2026 memerlukan suntikan idea kreatif dalam membangun produk dan bukan sekadar suntikan dana.

Azlizam berkata pembangunan pelancongan perlu inklusif, melibatkan komuniti luar bandar dan desa supaya limpahan ekonomi dapat dirasai secara menyeluruh. 

“Kunci utama adalah mewujudkan valuable and meaningful experience, kalau dalam konteks pelancongan budaya sebagai contoh, lebih bagus jika mampu wujudkan pengalaman menyeluruh dan ini boleh dikendalikan oleh pemain industri pelancongan kecil di desa dan bandar kecil.

“Ini memerlukan peningkatan kemahiran dalam kalangan penyedia perkhidmatan. Pelancong akan lebih teruja untuk menginap lebih lama bagi benar-benar merasai pengalaman berkenaan,” katanya.

Selain insentif potongan cukai, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan  Belanjawan 2026 mengumumkan peruntukan lebih RM700 juta bagi merancakkan sektor pelancongan, dengan RM500 juta adalah untuk menjayakan kempen TMM 2026. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan