AM > BERITA

Tabung Kasih@HAWANA Ringankan Beban Wartawan Terjejas Bencana Di Sabah

16/10/2025 06:08 PM

KOTA KINABALU, 16 Okt (Bernama) -- Kementerian Komunikasi terus menzahirkan keprihatinan terhadap kebajikan pengamal media menerusi penyaluran bantuan Tabung Kasih@HAWANA bagi membantu wartawan yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh di Sabah baru-baru ini.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang kini dalam lawatan kerja ke Sabah menyampaikan sumbangan berkenaan kepada Salamat Tambanan, 66, wartawan sambilan Asia Times Pulse yang kehilangan kediaman akibat bencana itu, di Kampung Sarapung, Penampang.

Pemberian sumbangan yang merangkumi bantuan kewangan dan barangan keperluan asas itu bagi membantu meringankan beban selain sebagai tanda penghargaan atas jasa serta sumbangan kepada dunia kewartawanan.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) merangkap Pengarah Projek HAWANA 2025 Arul Rajoo Durar Raj.

Salamat yang juga penerima ke-31 di Sabah telah berkhidmat sebagai wartawan sambilan dengan Asia Times Pulse sejak 1979. 

Tabung Kasih@HAWANA yang dilaksanakan oleh Kementerian Komunikasi melalui Bernama telah memanfaatkan seramai 533 pengamal media di seluruh negara sejak dilancarkan pada April 2023 sempena sambutan HAWANA.

Menceritakan kejadian menimpanya kepada pemberita, Salamat berkata rumah yang dibina tiga tahun lepas itu tertimbus tanah dalam kejadian luar biasa yang tidak pernah berlaku sebelum ini di kawasan terbabit.

"Waktu kejadian itu saya dan isteri tiada di rumah kerana ke pekan untuk membeli barangan dapur. Jadi bila kami balik, berlaku banjir di Jambatan Kampung Kulopis dan air naik, jadi kami tidak dapat limpas (lalu). Kami terpaksa bermalam di dalam kereta," katanya.

Salamat berkata pagi esoknya selepas air surut, mereka dapat pulang tetapi terpaksa berjalan kaki kerana jalan dipenuhi banjir lumpur dan apabila sampai di rumahnya yang terletak di atas bukit, dia mendapati rumah sudah tertimbus tanah.

"Mujur (kejadian berlaku) ketika kami tidak berada di rumah, kalau ada di rumah mungkin tidak tahu apa yang akan jadi,” katanya yang mesra dikenali ‘John’ dalam kalangan petugas media.

Salamat turut mengucapkan terima kasih kepada Fahmi, Kementerian Komunikasi dan Tabung Kasih@HAWANA atas keprihatinan kepadanya.

“Terima kasih atas sumbangan diberikan, sekurang-kurangnya dapat meringankan beban kami dan saya harap bantuan dapat terus diberikan kepada warga media," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan