SUKAN > BERITA

SUKAN SEA: SKUAD KUADRAN SEPAK TAKRAW SIAP SEDIA PELAN B - AHMAD JAIS

16/10/2025 10:10 PM

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Skuad sepak takraw negara bersedia dengan pelan B sekiranya beberapa tonggak utama bagi acara kuadran tidak sempat pulih untuk beraksi pada temasya Sukan SEA 2025 di Thailand, Disember ini.

Ketua Jurulatih Ahmad Jais Baharun memaklumkan pemain seperti Mohamad Azlan Alias, Farhan Adam dan Norfaizzul Abd Razak kini sedang menjalani rawatan di Institut Sukan Negara (ISN), sekali gus memberi sedikit tekanan kepada persiapan akhir pasukan itu.

“Jika dilihat pada ketika ini, beberapa pemain kita sedang menjalani rawatan dan ada yang masih belum pulih sepenuhnya. Itu yang memberi sedikit tekanan kepada pemain-pemain kita khususnya.

“Kami masih meneruskan latihan persiapan memantapkan pemain dari segi serangan dan pertahanan. Cuma dari segi persiapan akhir, kami harap pemain terus fokus dan tidak berlaku kecederaan kepada mereka,” katanya ketika kunjungan Ketua Kontinjen Sukan SEA 2025 Nurul Huda Abdullah di lokasi latihan skuad sepak takraw di sini hari ini.

Beliau berkata sebagai langkah berjaga-jaga, pelan B yang dimaksudkan ialah dengan memulakan latihan simulasi untuk pemain baharu bagi acara kuadran.

“Selain itu, sebagai persiapan akhir, pemain akan berangkat ke Ratchaburi, Thailand pada 19 hingga 24 Nov untuk mengadakan perlawanan ujian menentang bekas pemain kebangsaan Thailand,” katanya.

Mengulas mengenai sasaran pada Sukan SEA 2025, Ahmad Jais sedia maklum akan sasaran ditetapkan Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) yang mahu dua emas menerusi acara regu lelaki dan kuadran lelaki dibawa pulang dari Thailand.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan