AM > BERITA

Kastam Guna Teknologi AI Banteras Penyeludupan Hidupan Liar

16/10/2025 07:07 PM

SEMATAN (Sarawak), 16 Okt (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) memperkukuh sistem pemantauan menggunakan imbasan dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) di lapangan terbang bagi membanteras penyeludupan hidupan liar.

Ketua Pengarah JKDM Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata trend semasa sindiket penyeludupan kini dikesan menggunakan kaedah menyembunyikan haiwan eksotik yang ditidurkan di dalam bagasi penumpang.

“Pegawai kita di barisan hadapan yang mengendalikan mesin pengimbas telah dilengkapi dengan sistem pengesanan tingkah laku-neuro dan teknologi yang mampu mengesan ekspresi atau reaksi mencurigakan. Jika dikesan sesuatu mencurigakan, pemeriksaan fizikal ke atas bagasi boleh dilakukan segera.

“Langkah itu selaras dengan objektif Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) untuk mewujudkan ekosistem penguatkuasaan berasaskan risikan yang lebih efisien dan strategik,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat OBK di sini hari ini.

Anis Rizana berkata setakat ini OBK berjaya menangani aktiviti penyeludupan serta memaksa sindiket menukar laluan mereka, sekali gus mengurangkan penggunaan Malaysia sebagai hab utama penyeludupan.

“OBK bukan sekadar operasi penguatkuasaan bersepadu merentas agensi, sebaliknya satu gerakan nasional yang menggabungkan kekuatan undang-undang dengan semangat konservasi yang utuh demi kepentingan negara,” katanya.

Bagi tempoh April hingga September lepas, OBK merekodkan 444 tangkapan dengan nilai rampasan berjumlah RM338 juta.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan