SUKAN > BERITA

SUKAN SEA 2025: REXY BERI BAYANGAN DUA EMAS MAMPU DIRAIH SKUAD BADMINTON

18/10/2025 08:59 PM

PETALING JAYA, 18 Okt (Bernama) --Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara, Rexy Mainaky memberi bayangan bahawa skuad badminton kebangsaan berupaya meraih sekurang-kurangnya dua pingat emas pada Sukan SEA 2025 di Thailand dari 9 hingga 20 Disember ini.

Beliau berkata sandaran utama negara terarah kepada juara beregu campuran dunia 2025 Chen Tang Jie-Toh Ee Wei serta naib juara beregu wanita dunia 2025 Pearly Tan-M Thinaah.

“Kalau dilihat sekarang, peluang terbesar kita adalah dalam acara beregu campuran dan beregu wanita. Ini dua yang boleh saya sebut ketika ini... untuk beregu campuran, cabaran utama sudah tentu daripada gandingan Dechapol-Supissara (Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran) yang akan bermain di laman sendiri.

“Jika Pearly-Thinaah berada di tahap terbaik, mereka juga berpotensi raih emas. Namun, kami tidak mahu meletakkan tekanan berlebihan kerana ini juga penampilan pertama mereka di Sukan SEA,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Majlis Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di sini, hari ini.

Rexy turut tidak menolak kemungkinan Malaysia berpeluang memburu emas dalam acara beregu lelaki, namun menegaskan ia bergantung kepada analisis dan prestasi pemain dalam tempoh kira-kira dua bulan menjelang temasya dwitahunan itu.

Katanya skuad negara dijangka berdepan saingan sengit daripada Indonesia dan Thailand yang memiliki motivasi tinggi, terutama tuan rumah.

“Di rantau ini, kita ada Indonesia dan Thailand sebagai pencabar utama. Indonesia ketika ini masih belum meraih banyak gelaran, jadi mereka pasti melihat Sukan SEA sebagai peluang terbaik. Berdasarkan beberapa kejohanan sebelum ini, beregu Indonesia juga sudah beberapa kali menewaskan beregu utama kita,” katanya.

Selain Tang Jie-Ee Wei dan Pearly-Thinaah, BAM turut mempertaruhkan bekas juara beregu lelaki dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Turut disenaraikan ialah Leong Jun Hao dan Justin Hoh bagi acara perseorangan lelaki, manakala K. Letshanaa dan Wong Ling Ching mewakili perseorangan wanita.

BAM juga menaruh kepercayaan kepada gandingan beregu lelaki Man Wei Chong-Tee Kai Wun; beregu wanita Go Pei Kee-Teoh Mei Xing; serta beregu campuran Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin untuk membawa cabaran negara pada temasya kali ini.

Pada edisi 2023 di Phnom Penh, Kemboja, Malaysia yang diwakili skuad pelapis membawa pulang dua perak dan empat gangsa untuk menduduki tempat ketiga keseluruhan, manakala Indonesia muncul juara dengan lima emas, tiga perak dan tiga gangsa, diikuti Thailand di tempat kedua dengan dua emas, dua perak dan tiga gangsa.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan