LUMUT, 16 Okt (Bernama) -- Jabatan Perikanan Perak merancang mewujudkan tiga lagi pusat santuari ikan air tawar bernilai tinggi yang diancam kepupusan iaitu di Ulu Kinta, Kuala Kangsar dan Parit dalam masa terdekat.
Pengarah Perikanan Perak Mohd Ghazali Abdul Manap berkata bagaimanapun, perkara itu tertakluk di bawah Kaedah-Kaedah Perikanan (Sungai) Perak 1992 yang kini dalam proses pindaan akhir sebelum dibawa ke Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk pewartaan.
“Antara spesies utama yang dicadang untuk ditempatkan di ketiga-tiga santuari berkenaan ialah ikan temoleh, kelah dan tengas.
“Jika diluluskan, santuari itu akan mengikut model pengurusan tagal di Sabah yang mewujudkan beberapa zon (kawasan larangan dan tangkapan umum), bertujuan meningkatkan populasi ikan ini,” katanya pada sidang media di Pangkalan Program Pemantauan, Pengawalan dan Pengawasan (MCS) Perikanan di Kampung Acheh di sini hari ini.
Buat masa ini terdapat dua pusat santuari di Perak iaitu Santuari Kelah Akekchep Sungai Tiang, Gerik, dan Santuari Kelisa Emas Bukit Merah, Kerian yang diselia sepenuhnya oleh jabatan tersebut.
Mohd Ghazali berkata santuari itu bukan sahaja berperanan sebagai kawasan pemuliharaan malah pusat pembiakan semula jadi yang memberi manfaat jangka panjang kepada ekosistem serta komuniti nelayan darat.
“Selain itu, tujuan kita adalah untuk memastikan ikan bernilai tinggi ini tidak pupus dari perairan negeri dan pada masa yang sama masih dapat dilihat oleh generasi akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata sekiranya pindaan peraturan berkenaan dilaksanakan tiga spesies ikan air tawar iaitu kelisa emas, kelah dan temoleh akan digazetkan sebagai spesies dilindungi.
“Kita harap ia akan berlaku kerana spesies temoleh pada ketika ini menunjukkan penurunan populasi yang agak ketara, dengan pendaratannya hanya merekodkan sekitar 116.4 kilogram (kg) dari Januari hingga Ogos lepas berbanding 1,496 kg sepanjang 2024,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial