AM > BERITA

Richmond Asia Group, Barcelo Hotel Group Jalin Kerjasama Jayakan Operasi Richmond Estelar

17/10/2025 04:57 PM

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Richmond Asia Group menandatangani Perjanjian Pengurusan Hotel (HMA) dengan Barcelo Hotel Group bagi menjayakan operasi Richmond Estelar, sebuah pembangunan berorentasikan hospitaliti yang bakal menjadi mercu tanda di tengah kawasan tiga segi emas Kuala Lumpur. 

Kenyataan bersama oleh kedua-dua kumpulan itu memaklumkan pembangunan tersebut yang dijangka siap pada suku keempat 2028, merangkumi 199 suite hotel eksklusif yang direka dengan gabungan hospitaliti bertaraf antarabangsa dan kestabilan pulangan daripada pelaburan hartanah.

Menurut kenyataan itu, dengan koleksi suite yang terhad di satu daripada kawasan paling berprestij di Kuala Lumpur, Richmond Estelar, yang diramal menjadi penada aras baharu dalam gaya hidup mewah bandar, menawarkan peluang pemilikan hartanah yang jarang ditemui. 

“Terletak dalam koridor Kuala Lumpur City Centre, satu daripada hab pelancongan antarabangsa paling sibuk, pembangunan ini dijangka meningkatkan permintaan penginapan serta perbelanjaan lebih besar. 

“Kawasan ini yang dahulunya adalah deretan rumah kedai era kolonial, bakal diberi imej baharu dengan bar bertema, restoran mewah dan kedai konsep sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai syurga kulinari dan destinasi gaya hidup,” menurut kenyataan itu. 

Menurut kenyataan itu, kemuncak bagi pembangunan itu adalah pengalaman menikmati sajian bertaraf Michelin di bangunan pencakar langit, yang disokong oleh perkhidmatan ‘concierge’ bertaraf dunia serta perincian seni bina yang halus dan mewah.

“Kombinasi gaya hidup dan pelaburan ini mencerminkan falsafah Richmond Asia Group dalam mewujudkan aset premium berdaya tahan yang menggabungkan nilai gaya hidup dan pelaburan,” menurut kenyataan itu sambil menambah bahawa kerjasama Richmond Asia Group dan Barcelo Hotel Group didorong oleh rekod pencapaian cemerlang, prestij antarabangsa dan kepakaran operasi. 

Ketua Pegawai Eksekutif yang juga Pengarah Eksekutif Richmond Asia Group Aaron Yap dalam kenyataan itu berkata kerjasama dengan Barcelo Hotel Group menandakan permulaan baharu kepada Richmond Asia Group.

“Dengan menggabungkan strategi pelaburan kami dan standard antarbangsa Barcelo Hotel Group, kami memberikan perkhidmatan bertaraf dunia serta pulangan yang mampan,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Barcelo Hotel Group bagi Mediterranean, Timur Tengah dan Asia, Jose Canals berkata dengan pengalaman selama berdekad dalam bidang hospitaliti, Barcelo Hotel Group yakin kerjasama itu dapat mewujudkan sebuah hotel yang bukan sahaja menggembirakan tetamu tetapi turut memberi nilai tambah kepada pelabur dan mengukuhkan komuniti tempatan.

Kenyataan itu memaklumkan, Richmond Estelar juga bercadang untuk membawa kemewahan kulinari Barcelo yang terkemuka ke Kuala Lumpur.

Diasaskan pada 1931, Barcelo Hotel Group, diiktiraf pemilik restoran taraf bintang Michelin paling banyak yang beroperasi di lebih 300 hotel di 30 negara. Kerjasama itu juga akan memberikan Richmond Estelar akses kepada program keahlian My Barcelo, yang mempunyai lebih empat juta ahli di seluruh dunia dan menyumbang kepada 90 peratus daripada tempahan terus. 

Melalui bahagian pelancongan Barcelo, Avoris yang beroperasi di 23 negara menerusi jenama pelancongan terkenal seperti B Travel, Halcon Viajes, B Travel & Catai, jangkauan Richmond Estelar dijangka melangkaui luar Malaysia.

Menurut kenyataan itu, kerjasama berkenaan memperkukuh komitmen Richmond Asia Group dalam menerajui pelaburan berasaskan hospitaliti sekali gus mempertingkatkan landskap hartanah Malaysia, dengan Richmond Estelar dijangka menjadi simbol kepada prestij antarabangsa di negara ini.  

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan