SUKAN > BERITA

FAM GANTUNG SETIAUSAHA AGUNG, TUBUH JAWATANKUASA BEBAS SIASAT ISU PEMAIN WARISAN

17/10/2025 06:31 PM

PETALING JAYA, 17 Okt (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menggantung Setiausaha Agungnya, Datuk Noor Azman Rahman serta-merta susulan keputusan tatatertib berkaitan isu dokumentasi melibatkan kelayakan tujuh pemain warisan skuad Harimau Malaya.

Timbalan Presiden FAM Datuk S. Sivasundaram berkata pihaknya turut menubuhkan sebuah jawatankuasa bebas bagi menyiasat isu berkenaan yang menggoncang landskap bola sepak tempatan baru-baru ini.

Katanya keputusan menggantung Noor Azman dibuat bagi memastikan ketelusan dan membolehkan jawatankuasa itu menjalankan siasatan terperinci tanpa sebarang campur tangan.

“Kita melantik jawatankuasa bebas khusus untuk menyiasat. Kita tidak mahu Setiausaha Agung bertugas ketika siasatan berjalan kerana kita mahu siasatan telus.

“Setiausaha Agung adalah ketua sekretariat dan beliau telah mengambil tanggungjawab. Jadi bagi membolehkan jawatankuasa bebas menjalankan siasatan, beliau perlu direhatkan buat sementara waktu sehingga siasatan selesai,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Harimau Malaya, Rob Friend serta peguam sukan antarabangsa dari Geneva, Serge Vittoz yang mewakili FAM, bersama firma guaman berpangkalan di London, Charles Russell Speechlys.

Sivasundaram berkata jawatankuasa bebas itu tidak akan membabitkan mana-mana pegawai FAM dan akan ditugaskan meneliti di mana berlaku kepincangan dalam proses dokumentasi serta penghantaran borang sehingga membawa kepada tindakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terhadap tujuh pemain berkenaan dan badan induk itu.

Beliau berkata FAM kini menunggu perkembangan seterusnya berhubung proses rayuan yang telah dikemukakan kepada FIFA pada Selasa lepas.

“FAM berpendirian bahawa pemain-pemain ini dinaturalisasikan secara sah mengikut undang-undang Malaysia,” katanya.

Bulan lalu, FAM dan tujuh pemain naturalisasi — Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel — dihukum oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

Dalam kenyataan sebelum ini, FIFA memaklumkan FAM telah mengemukakan dokumen yang dipalsukan bagi mengesahkan kelayakan pemain-pemain terbabit untuk beraksi dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu.

Susulan itu, FAM dikenakan denda CHF 350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF 2,000 (sekitar RM10,560) dan digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa dari tarikh notis keputusan dikeluarkan.

Dalam penjelasan sebelum ini, FAM menyatakan berlaku kesilapan teknikal dalam proses penghantaran dokumen melibatkan tujuh pemain berkenaan yang dilakukan oleh seorang pegawai pentadbiran.

FAM turut tidak menolak kemungkinan membawa kes itu ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sekiranya rayuan di peringkat FIFA tidak membuahkan hasil positif.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan