AM > BERITA

JHEAIPP Tangkap Lelaki Warga Asing, Bongkar Sindiket Kutip Derma Khairat

17/10/2025 09:33 AM

NIBONG TEBAL, 17 Okt (Bernama) -- Kegiatan warga asing yang mengutip derma khairat menggunakan surat kebenaran palsu terbongkar selepas Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) menahan seorang lelaki di sebuah masjid di Kampung Kepala Gajah, Simpang Ampat di sini malam tadi.

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAIPP Muhamad Helmi Rosley berkata tangkapan ke atas lelaki berusia 39 tahun itu dibuat pada 8 malam, hasil risikan sejak sebulan lepas susulan aduan oleh pejabat agama dan juga orang awam yang disalurkan melalui Facebook.

Beliau berkata kegiatan itu disyaki didalangi sindiket yang mempergunakan warga asing untuk mengutip derma di pasar malam serta pasaraya di seluruh negeri ini.

“Berdasarkan siasatan kegiatan ini dipercayai telah aktif sejak dua bulan lepas dan mampu meraih purata kutipan antara RM150 hingga RM250 sehari.

“Modus operandi digunakan dengan mempamerkan surat kebenaran palsu yang mempunyai kepala surat jabatan dan kononnya ditandatangani Pengarah JHEAIPP bagi meyakinkan orang ramai untuk menderma,” katanya di sini hari ini.

Berdasarkan hasil kutipan, Muhamad Helmi berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan kegiatan itu dijalankan oleh lebih daripada tiga individu, namun siasatan lanjut sedang dilakukan termasuk bagi mengenal pasti ke mana wang kutipan berkenaan disalurkan.

Sebarang aktiviti kutipan derma bagi tujuan kebajikan perlu mendapat kebenaran dan kelulusan bertulis daripada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Beliau berkata JHEAIPP tegas dalam menangani isu kutipan derma, infaq dan khairat termasuk oleh ejen yang mengutip zakat untuk negeri lain di Pulau Pinang, kerana ia boleh menjejaskan hak golongan yang layak menerima zakat di negeri ini.

Sehubungan dengan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati sebelum menyalurkan sumbangan dan memastikan kesahihan surat kebenaran dengan pihak jabatan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan