AM > BERITA

Suasana Di Brickfields Semakin Meriah Menjelang Deepavali

17/10/2025 03:10 PM

Oleh N. Kuvineshwaren

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Menjelang sambutan Deepavali pada 20 Okt, suasana di sekitar Brickfields kian meriah dengan kehadiran orang ramai khususnya kaum India untuk membeli keperluan menyambut perayaan itu.

Tinjauan Bernama mendapati deretan kedai menjual pakaian tradisional, aksesori dan manisan kaum India mula dipenuhi pelanggan yang sibuk memilih sari, kurta serta pelbagai hiasan rumah bagi meraikan pesta cahaya.

Peniaga kain R. Pushpa, 53, berkata jualan kedainya meningkat sejak hujung minggu lepas dengan kebanyakan pelanggan mencari pakaian sedondon untuk seisi keluarga.

“Minggu lepas masih perlahan, tetapi sekarang memang ramai yang datang terutama waktu petang dan hujung minggu. Ramai juga pelanggan tetap yang datang setiap tahun,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Beliau yang sudah berniaga di situ lebih lima tahun berkata jualan kali ini lebih memberangsangkan berbanding sebelumnya dan pelanggan juga dilihat lebih bersemangat berbelanja untuk pakaian baharu.

Sementara itu, peniaga manisan M. Krishnan, 52, berkata antara manisan paling mendapat sambutan ialah ladu, jalebi, palkova dan sebagainya. 

“Permintaan meningkat setiap hari sehingga kami terpaksa tambah stok sebab ramai pelanggan sudah mula membuat tempahan untuk dihantar kepada saudara-mara,” katanya.

Krishnan berkata aroma manisan yang dibuat segar setiap pagi menjadi tarikan utama, sehingga ada pelanggan tetap dari luar ibu kota datang ke Kuala Lumpur semata-mata untuk membeli di kedainya.

Jururawat di Subang Jaya, Selangor A. Suguna, 29, memberitahu ke Brickfields selepas tamat syif semata-mata untuk membeli pakaian dan manisan buat keluarganya di Seremban, Negeri Sembilan.

“Saya memang datang ke sini setiap tahun kerana pilihan banyak dan suasana meriah. Kali ini saya mahu pastikan semua lengkap kerana akan balik kampung hujung minggu ini,” katanya.

Suguna berkata biarpun penat selepas bekerja, suasana warna-warni Deepavali di Brickfields membuatkan beliau semakin teruja untuk merayakan Deepavali di kampung halaman.

Penjual bunga, A. Sivananthan, 54, berkata orang ramai sudah mula membeli bunga namun menjangka suasana akan lebih meriah pada hujung minggu ini apabila hari perayaan kian hampir.

“Ketika itu, barulah kawasan ini (kedai bunga) akan dipenuhi pengunjung sehingga semua bunga habis terjual,” katanya. 

Tinjauan juga mendapati kedai emas dan aksesori tradisional turut dipenuhi pelanggan manakala lampu hiasan dan pelita sudah dipasang untuk menghiasi premis perniagaan, sekali gus menambah seri suasana menjelang Deepavali.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan